Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. - FOTO NSTP
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. - FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kerajaan bakal mengumumkan dasar yang lebih komprehensif untuk membangunkan ekosistem syarikat pemula di negara ini sekali gus menjadikan Malaysia hab digital berdaya saing dengan negara serantau.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan tiga kementerian utama lain yang terbabit di dalam ekosistem ekonomi digital.

Katanya, agensi itu membabitkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).

"Menjelang Ogos depan, baru kita dapat memberi gambaran jelas mengenai hala tuju syarikat pemula dan keseluruhan ekosistem digital.

"Buat masa ini, kita akan fokus kerjasama dengan tiga agensi ini dulu kerana mereka ini bertanggungjawab dalam pembangunan ekosistem digital.

"Sudah pasti, pelaksanaan menyeluruh akan dibuat secara berperingkat kerana kita perlu membina momentum dalam industri ini bagi memastikan semua yang bakal dibuat mempunyai kesan terhadap ekosistem digital termasuk syarikat pemula.

"Kalau tidak ia hanya pengumuman dan tiada manfaat. Disebabkan itu semua agensi terbabit perlu duduk berbincang mencari penyelesaian terbaik sebab ia bukan soal berapa banyak duit saja, tetapi turut menyentuh banyak isu lain.

"Oleh itu, dapat saya katakan pemain syarikat pemula boleh menjangkakan sesuatu yang menarik dalam tempoh beberapa bulan akan datang ini," katanya kepada media pada acara sembang santai bersama Malaysia Venture Capital Management Berhad (Mavcap) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Mavcap, Tunku Alizakri Alias dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahril Anas Hasan Aziz.

Sementara itu, Rafizi berkata semua agensi dan penyedia ekosistem digital sedang bekerjasama dan sekiranya perancangan terbaik dapat diwujudkan, tidak mustahil Malaysia dapat melangkah lebih cepat mencapai apa yang disasarkan iaitu menjadi pilihan hab digital serantau.

Beliau berkata, situasi sekarang di mana pelabur digital asing banyak yang memilih untuk melabur di Singapura dan Indonesia, ia adalah diluar kawalan dan jangkaan.

"Bagaimanapun, dalam tempoh satu tahun lagi lebih banyak perkara menarik dapat diwujudkan dan kita mahu menjadikan Malaysia sebagai hab pilihan pelabur digital asing.

"Malah, dari segi pelaburan sebenarnya kita sudahpun seiring dengan Indonesia dan Singapura.

"Kementerian dan agensi terbabit juga akan memberi fokus kepada peralihan tenaga seperti solar dan menambah baik beberapa polisi.

"Justeru, kepada pemain industri nantikan pengumuman yang akan dibuat pada Ogos ini. Namun, segala pengumuman yang membabitkan dana atau bantuan ia akan dibentangkan dalam Belanjawan 2024 yang mana ia akan betul-betul menepati kehendak dan keperluan kita untuk ekosistem digital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 5:06 PM