Nurhayati Abllah dan Farah Adilla

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini memiliki platform kukuh untuk terus berkembang dan mencipta lebih banyak peluang pelaburan pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, beliau berbesar hati menerajui KWSP pada masa ini sebagai ketua pegawai eksekutif sejak lima tahun lalu.

“Jika dilihat pada kedudukan KWSP sekarang ini, kami berada pada kedudukan sangat kukuh.

“Kami sangat dikenali dengan tadbir urus yang baik dan berpegang kepada piawaian tinggi dalam integriti dan perkhidmatan kami.

“Kebanyakan orang lebih cenderung memikirkan KWSP mengenai apa dividen yang boleh kami berikan pada setiap tahun, sedangkan apa yang kami lakukan adalah melangkauinya demi manfaat untuk 14 juta ahli kami,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Persidangan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSC) 2018 KWSP dan pelancaran Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias.

Shahril Ridza berkata, beliau berbesar hati untuk meninggalkan organisasi itu dalam kedudukan yang sangat kukuh dan yakin pimpinan baru akan terus mengendalikan KWSP dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 10:39 AM