SHAHRIL Anas. FOTO arkib NSTP
SHAHRIL Anas. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) akan menawarkan pembiayaan ekuiti kepada syarikat permulaan tempatan dan serantau melalui dua dana modal teroka (VC) baharu, iaitu Orbit Malaysia Fund I dan Ficus SEA Fund, dengan jumlah saiz dana sasaran sebanyak RM160 juta secara keseluruhannya.

Katanya, dana tersebut akan memberi tumpuan kepada vertikal seperti Kecerdasan Buatan (AI), teknologi kewangan (fintech), teknologi penjagaan kesihatan, teknologi hijau, teknologi perindustrian, Internet of Things (IoT) dan teknologi pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Shahril Anas Hasan Aziz berkata, dana VC baharu itu akan mengukuhkan lagi aspirasi MAVCAP untuk membantu syarikat permulaan tempatan mengembangkan perniagaan mereka dan cemerlang dengan matlamat untuk menjadi unicorn teknologi dan memanfaatkan peluang pertumbuhan serantau.

"Selain meningkatkan kumpulan modal yang boleh didapati untuk syarikat permulaan, tempatan dan serantau, untuk meningkatkan perniagaan mereka, dana VC baharu kami turut menyediakan peluang untuk menggunakan rangkaian global kami yang luas bersama pengurus dana baharu di samping kami berusaha untuk membangunkan jaguh serantau dan global," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syarikat modal teroka terbesar negara itu berkata, dana VC merupakan tambahan terkini kepada 14 dana VC MAVCAP di pelbagai peringkat pelaburan daripada Seed kepada Siri C seperti 500 Durians, Axiata Digital Innovation Fund, Asia Greentech Fund dan Meranti Asean Growth Fund.

Katanya Orbit Malaysia Fund I akan diuruskan oleh Kejora Capital yang berpangkalan di Jakarta dengan Sunway Group dan MAVCAP sebagai pelabur utama dan matlamat untuk menggalakkan pertumbuhan syarikat permulaan tempatan, memanfaatkan pembangunan bidang teknologi yang pesat di rantau ini.

Sementara itu, Ficus SEA Fund melabur dalam syarikat permulaan tempatan yang mencatatkan prestasi amat baik dalam bidang teknologi logistik dan teknologi hijau dan sedang mempertimbangkan bidang lain yang berpotensi termasuk teknologi kewangan Islam dan penyelesaian alam sekitar, tadbir urus sosial dan korporat (ESG).

"Dengan pelaburan kami tertumpu kepada sektor dengan pertumbuhan yang kukuh, kami menjangka pulangan positif untuk pelabur pada tahun-tahun akan datang, terutamanya dalam persekitaran pasca pandemik apabila dunia ke arah pemulihan.

"Bagi memacu bakat keusahawanan Malaysia yang besar, kami berharap dapat memberikan bimbingan dan pelaburan kepada syarikat permulaan yang mencatatkan prestasi yang baik untuk meraih peluang baharu dan berkembang maju," kata CEO Ficus Group Capital Asyrul Ramali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 4:01 PM