Nurhayati Abllah

Kuala Lumpur: Integriti, tadbir urus dan perkhidmatan baik adalah elemen penting yang menjadi penanda aras kepada keupayaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kekal mampan menghadapi cabaran semasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, tiga elemen berkenaan memastikan kelangsungan kejayaan sesebuah organisasi.

“Sebagai pemimpin, apa yang penting ialah meninggalkan organisasi dalam keadaan baik seperti pada masa pertama kita sertai organisasi itu.

“Alhamdulillah, dari segi KWSP kakitangan kami semua berada dalam satu pasukan sebenar. Dari aspek integriti, tadbir urus dan perkhidmatan, kami adalah fantastik,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup Persidangan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSC) 2018 KWSP, di sini, semalam.

Persidangan dua hari berakhir semalam adalah gabungan kerjasama KWSP dengan Citi Malaysia, Nomura Asset Management Malaysia dan Nomura Securities Malaysia.

Kerjasama berkenaan sekali gus menyediakan peluang kepada KWSP untuk menyelami kepakaran mereka dalam memacu pertumbuhan dan kemakmuran global di samping meningkatkan mutu kehidupan melalui pelaburan dan pengurusan kewangan.

Shahril Ridza yang akan memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) baharu berkuat kuasa 20 Ogos ini, sekali lagi menegaskan dan yakin dengan keupayaan semua anggota KWSP untuk terus menjadikan agensi berkenaan sebagai sebuah organisasi hebat bagi semua ahlinya.

Sementara itu, dalam ucapan penutupnya, beliau berkata, penganjuran ISSC mampu memberi peluang kepada mereka yang terbabit untuk menggubal dasar.

Terdahulu pada persidangan itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, aset di bawah pengurusan (AUM) dana persaraan itu dijangka mencecah RM1 trilion dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang.

Jangkaan itu bersandarkan kepada prestasi pasaran dan pertumbuhan sumbangan dalam tempoh itu, selain pengenalan skim baharu kepada pencarum sedia ada.

Beliau yang akan menggantikan Shahril Ridza pada 20 Ogos ini berkata, dana persaraan itu juga menggalakkan mereka dalam tenaga kerja tidak rasmi untuk mula membuat caruman bagi hari tua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 10:36 AM