Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menyasar melahirkan lima syarikat unicorn di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, sasaran itu dapat dicapai dengan penerapan elemen Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE) dalam pembangunan syarikat unicorn berkenaan, antaranya merangkumi elemen teknologi sensor, keselamatan siber, teknologi neuro, pembangunan bandar pintar, kesihatan dan agrikultur.

Mengambil kira kejayaan Carsome, platform e-dagang kereta bersepadu terbesar di Asia Tenggara dan syarikat unicorn pertama di Malaysia dengan nilai lebih AS$1 bilion, Dr Adham berkata, elemen pendigitalan juga diberikan pengkhususan dalam membina syarikat unicorn berkenaan.

"Ini (pendigitalan) antara kaedah digunakan Carsome yang berjaya sampai ke negara rantau," katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi perjumpaan dengan pihak Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) dan Carsome di Mosti, semalam.

Turut hadir Pengerusi MAVCAP Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias secara fizikal manakala Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Eric Cheng hadir secara maya.

Syarikat unicorn adalah pemula niaga yang memiliki penilaian keseluruhan melebihi AS$1 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 8:48 AM