MARQUEZ bergelut bersama Honda ketika ini. FOTO AFP
MARQUEZ bergelut bersama Honda ketika ini. FOTO AFP
Agensi

Madrid: Marc Marquez wajar memenuhi kontraknya bersama Honda sebelum perlu berhijrah ke KTM atau Ducati untuk meraih lebih kejayaan, kata Jorge Lorenzo.

Kontrak Marquez bersama Honda adalah sehingga penghujung 2024 tetapi harapannya untuk meraih kejuaraan dunia kelas perdana buat kali ketujuh agak sukar dan ia dijangka lebih berliku pada tahun depan.

Tetapi Lorenzo, yang menamatkan kariernya ketika bersama rakan sepasukannya itu di Repsol Honda, menasihatkan Marquez supaya menghormati kontraknya sebelum mencari pasukan baharu.

"Jika Marc membiarkan Honda ketika lemah, ia akan kelihatan sangat teruk," kata juara MotoGP tiga kali, Lorenzo kepada DAZN.

"Kita harus ingat pada perlumbaan di Jerez 2020, dia memotong pelumba lain seolah-olah mereka dari Moto2. Jentera Honda tidak cukup pantas ketika ini.

"Saya percaya anda perlu kuat dan bersikap matang. Saya mahu Marquez (melihat) kontraknya bersama pasukan.

"Ia tidak sama dengan F1 (Formula Satu), tetapi, sebagai contoh, Fernando Alonso berusia 42 tahun, Marquez berusia 30 tahun.

"Ya, memang benar bahawa Marc mempunyai lebih banyak kecederaan berbanding Fernando kerana motosikal lebih berbahaya berbanding kereta.

"Tapi tunggu setahun lagi bersama Honda dan pada usia 31 tahun anda berhijrah ke KTM atau bersama Ducati untuk memenangi kejuaraan dunia seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 10:55 AM