AFP

Mugello, Itali: Juara dunia Jorge Lorenzo memburu kemenangan kelima dalam tempoh enam tahun pada MotoGP Itali di Mugello hujung minggu ini bagi mengukuhkan kedudukannya di puncak carta pendahulu.

Lorenzo meraih kemenangan keduanya musim ini di Perancis ketika Yamaha melakar kemenangan satu-dua kali kedua berturut-turut, dengan Valentino Rossi muncul naib juara di belakang penunggang Sepanyol itu di Le Mans.

Lorenzo, yang mengatasi Rossi bagi merebut kejuaraan pada perlumbaan terakhir tahun lalu, merampas kedudukan rakan senegara Marc Marquez di puncak selepas pelumba Honda itu hanya menduduki tangga ke-13 di Le Mans susulan kemalangan.

“Di Le Mans kami meraih kemenangan penting dan kami kini mendahului kejuaraan jadi kami bermotivasi bagi perlumbaan berikutnya, terutama sekali di Mugello,” kata Lorenzo, yang sekurang-kurangnya muncul naib juara dalam tujuh perlumbaan terakhir di Mugello.

“Ia litar yang amat saya sukai dan berseronok sebelum ini. Ia satu daripada tempat kegemaran saya untuk berlumba.”

Rossi tidak asing dengan kejayaan di litar negaranya sendiri selepas mencatat tujuh kemenangan berturut-turut dari 2002-08, namun penunggang Itali itu mengakui tidak mudah untuk kekal fokus beraksi di depan penyokong sendiri.

“Saya sukakan Mugello dan suasananya. Amat sukar buat saya untuk memberikan tumpuan kerana sering kali ada ramai rakan dan peminat datang, tapi perlumbaan Mugello amat istimewa buat saya kerana alasan itu,” kata Rossi, yang ketinggalan 12 mata di belakang Lorenzo.

“Saya pernah menang beberapa kali di sini, banyak saingan sengit dan juga memori indah. Saya fikir tahun ini kami boleh kompetitif kerana jentera kami bagus dan saya kini semakin berada di tahap terbaik.”

Marquez, juara dunia 2013 dan 2014, akan cuba mengatasi kekecewaan di Perancis dengan menambah kemenangan di Mugello dua tahun lalu.

Pelumba berusia 23 tahun itu mencatat empat penamat podium sebelum kekecewaan di Le Mans dan Marquez percaya litar di Itali dan perlumbaan bulan depan di Barcelona akan mencetus cabaran berbeza.

“Kami perlu fokus dan menumpukan kepada Mugello dan Montmelo, dua litar yang amat berbeza berbanding Jerez dan Le Mans,” ujar Marquez.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 8:26 AM