AFP

Doha: Juara dunia Jorge Lorenzo dan rakan sepasukannya dari Yamaha Valentino Rossi memberi cabaran awal semalam apabila mencatat masa terpantas pada sesi latihan pertama di perlumbaan pembuka tirai Grand Prix (GP) Qatar.

Di bawah sinaran lampu limpah Losail, Lorenzo mencatat 1 minit 55.440 saat manakala juara dunia sembilan kali Rossi ketinggalan 0.267s.

Pelumba Ducati Andrea Iannone dan Hector Barbera mencatat masa ketiga dan keempat terpantas, masing-masing ketinggalan 0.296s dan 0.370s di belakang Lorenzo.

Bagaimanapun penunggang Honda Dani Pedrosa dan juara dua kali Marc Marquez sekadar berada di tangga ketujuh dan kelapan, permulaan mengecewakan buat pasukan yang biasanya menjadi pencabar utama Yamaha.

“Saya bermula dengan baik. Sejak mula lagi saya berjaya mencatat masa sepusingan dan juga kepantasan terbaik, tapi kami masih mempunyai peluang dari segi catatan masa dan kepantasan,” kata Lorenzo, yang menjulang gelaran dunia ketiga tahun lalu dengan hanya kelebihan lima mata berbanding Rossi pada perlumbaan terakhir penentu kejuaraan.

“Kami akan terus memperbaiki pelarasan dan elektronik untuk memperbaiki beberapa aspek pada Jumaat (Sabtu). Trek juga akan lebih baik dengan lebih cengkaman dan catatan pusingan akan menjadi lebih pantas.”

Dua lagi sesi dirancang di litar padang pasir hari ini sebelum kelayakan dan perlumbaan pada dua hari berikutnya untuk perlumbaan waktu malam, yang pertama daripada 18 perlumbaan keseluruhan.

Legenda Itali Rossi memulakan musim ke-20 dalam kejuaraan dunia dan berharap dapat menebus kontroversi 2015.

Dia hampir menjulang gelaran ke-10 ketika menunggang Yamaha sebelum menendang pencabar Honda Marquez pada perlumbaan kedua terakhir di Malaysia.

Pelumba berusia 37 itu dihukum dengan memaksanya memulakan perlumbaan penentu kejuaraan di Valencia dari petak belakang, penalti yang membolehkan Lorenzo menjulang kejuaraan dengan kelebihan lima mata.

“Latihan pertama begitu positif. Saya berpuas hati, ia cara terbaik memulakan musim ini kerana tempat kedua juga bagus dan catatan masa tidak teruk,” kata Rossi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 5:23 AM