AFP

Doha: Juara bertahan Jorge Lorenzo (gambar) memulakan kempen bagi kejuaraan keempat dengan meraih kemenangan pada perlumbaan pembuka tirai musim Grand Prix Qatar, awal pagi semalam.

Penunggang Sepanyol berusia 28 tahun itu, yang bermula dari petak utama, memenangi perlumbaan di bawah lampu limpah di negara Teluk buat kali ketiga, dengan pelumba Ducati Andrea Dovizioso menduduki tangga kedua, 2.019 saat di belakang manakala Marc Marquez dengan jentera Honda di tangga ketiga 2.287 saat di belakang pemenang.

Juara dunia sembilan kali Valentino Rossi di tangga keempat dengan jentera Yamaha selepas menandatangani kontrak baru dua tahun Sabtu lalu.

Bagi Lorenzo, ia kemenangan karier ke-62 dan 41 dalam kelas elit, hadir di litar yang mana dia melakukan penampilan sulung pada 2008.

Lorenzo dipintas pelumba Ducati Andrea Iannone pada hujung pusingan pertama namun cabaran penunggang Itali itu berakhir apabila dia mengalami kemalangan di selekoh ke-13 litar Losail.

Ia membolehkan rakan sepasukan Ducati Dovizioso mendahului seketika namun ketika berbaki 14 pusingan daripada 22 pusingan perlumbaan, Lorenzo meluru untuk kembali mendahului dan dia tidak menoleh ke belakang lagi.

Juara dunia dua kali Marquez memintas Dovizioso dengan baki empat pusingan namun penunggang Itali itu melakukan pintasan menakjubkan pada pusingan terakhir untuk memastikan tangga kedua.

Lorenzo, yang merangkul kejuaraan dunia 2015 pada perlumbaan penamat musim di Valencia berkata, keputusan saat akhir menukar tayar daripada keras kepada lembut menjadi kunci kejayaannya.

“Perlumbaan ini satu daripada yang terbaik dalam karier saya dan itulah sebabnya saya boleh menang dan kelebihan pada tiga pusingan terakhir memberikan saya kemenangan hari ini,” ujar Lorenzo.

“Ia bergantung kepada tayar. Kami memutuskan untuk menggunakan tayar belakang lembut kerana dengan tayar keras kami tidak mampu memecut terlalu laju.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 7:26 AM