Kuala Lumpur: Pelumba Yamaha Jorge Lorenzo (gambar) berharap mampu merangkul kejuaraan MotoGP buat kali ketiga dengan tidak mempedulikan kedudukan keseluruhan kategori pelumba dan cuba untuk mendominasi baki perlumbaan di Grand Prix (GP) Malaysia dan Valencia.

Lorenzo sekarang ini ketinggalan 11 mata di belakang rakan sepasukan, Valentino Rossi walaupun jurang berkenaan mampu untuk dikurangkan kepada enam sebelum diganggu Marc Marquez yang muncul juara di GP Australia hujung minggu lalu.

“Saya rasa Marc (Marquez) seorang pelumba hebat, jadi sangat sukar untuk memenangi dua perlumbaan tapi saya rasa kami sudah melakukan tugas dengan baik menjelang hujung minggu ini,” kata Lorenzo.

Jelasnya, mereka memiliki lebih pengalaman berbanding pasukan lain serta mempunyai jentera bagus.

“Kami hanya mahu kekalkan prestasi terbaik ini dan cuba menunggang sepantas yang boleh. Kami mahu pantas ketika dari sesi latihan bebas lagi bagi mencerahkan peluang muncul juara,” kata Lorenzo.

Situasi untuk mengejar kedudukan kejuaraan keseluruhan lebih terarah kepada empat pelumba membabitkan Marquez, Lorenzo, Rossi dan Andrea Iannone yang bersaing untuk slot empat terbaik.

Marquez berjaya menghalang Lorenzo daripada mengutip lima mata tambahan di Phillip Island selepas memintas di selekoh terakhir dan dalam masa sama Iannone menghalang Rossi untuk menduduki tempat ketiga.

Dalam masa sama Marquez juga mendominasi sesi latihan bebas dan ujian kelayakan masa di Australia.

“Marc sangat luar biasa bermula dari Jumaat sehingga ke hari perlumbaan. Saya menjangkakan dia akan lebih pantas sedikit berbanding saya. Tapi dalam perlumbaan saya mampu untuk memberi tekanan serta mengekori rapat.

“Bagaimanapun, saya tidak menjangka Andrea dan Valentino juga akan bersaing dengan kami,” kata Lorenzo yang menjangkakan bakal lebih pantas di Sepang hujung minggu ini selepas Bridgestone membawa tayar lebih lembut berbanding di Phillip Island. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 8:35 AM