DATUK Sumali Reduan. -FOTO Bernama
DATUK Sumali Reduan. -FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Malaysia perlu memanfaatkan peluang beraksi di hadapan ribuan penyokong setia bagi menoktahkan penantian selama 33 tahun skuad sepak takraw yang tidak pernah menewaskan Thailand dalam acara regu berpasukan.

Di pentas final esok, Malaysia turun dengan impian begitu besar kerana kali terakhir skuad negara mengatasi pasukan Gajah Perang itu ialah pada Sukan Sea Manila 1991.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan berkata, beliau menyedari cabaran di pentas final esok bukan mudah untuk menewaskan Thailand namum tiada mustahil dan beliau mengharapkan pemain boleh tampilkan aksi paling terbaik.

Jelasnya, beliau mengharapkan tuah itu akan memihak kepada Malaysia untuk mencipta satu lagi sejarah baharu dalam sukan sepak takraw di negara ini.

"Sasaran tepat kita mara ke final dalam tiga acara di Piala Dunia (Sepak Takraw 2024). Esok kita akan bertemu Thailand dan peluang 50-50 biarpun berjaya mengejutkan mereka dalam acara double dan regu.

"Misi kita juga adalah untuk menamatkan penantian 33 tahun kerana kita tidak pernah tewaskan Thailand dalam acara regu berpasukan dan kita harap kita cipta sejarah itu," katanya.

Jelasnya, beliau akan berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk memberi ganjaran setimpal dengan usaha mereka di pentas Piala Dunia itu.

"Bonus semestinya ada. Insya-Allah saya akan bincang dengan menteri mengenai bonus kepada semua pemain yang telah mengharumkan nama negara di pentas dunia," katanya.

Terdahulu, dalam perlawanan separuh akhir hari ini, Malaysia tidak berdepan sebarang masalah untuk menewaskan Indonesia 2-0 bagi bertemu Thailand di pentas akhir yang terlebih dahulu layak selepas menang mudah ke atas Korea Selatan 2-0 dalam satu lagi separuh akhir.

Malaysia akan berdepan Thailand pada jam 3 petang dengan saingan dijangka berlangsung sengit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 11:27 PM