AKSI negara ketika melakar kemenangan ke atas pasukan Indonesia dalam perlawanan separuh akhir Berpasukan pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa malam ini. -FOTO Bernama
AKSI negara ketika melakar kemenangan ke atas pasukan Indonesia dalam perlawanan separuh akhir Berpasukan pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa malam ini. -FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemain sepak takraw Malaysia bakal menerima ganjaran apabila Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan mengadakan perbincangan terperinci dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas pemain negara mempamerkan aksi terbaik sepanjang kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan berkata, skuad kendalian Ahmad Jais Baharun berjaya menunjukkan permainan yang cukup konsisten sekali gus mencapai sasaran ke pentas final dalam ketiga-tiga acara dipertandingkan - double, beregu dan berpasukan.

Lebih membanggakan, skuad double dan regu negara berjaya muncul juara menewaskan musuh tradisi dalam sukan itu.

"Sudah tentu ada. Insya-Allah saya akan berbincang nanti dengan menteri untuk bonus kepada semua pemain yang sudah mengharumkan nama negara dan mencapai kejuaraan double serta regu.

"Kita akan bincang kemudian dengan KBS, berbincang untuk dapatkan bonus kepada pemain," katanya.

Terdahulu, pada Rabu lalu, skuad negara melakar sejarah apabila meraih gelaran berganda pada edisi kali ini dengan mengungguli acara double yang pertama kali diadakan serta regu ke atas Thailand.

Dalam final itu, trio negara Farhan Adam (apit kiri), Syahir Rosdi (tekong) , Azlan Alias (apit kanan), Haziq Hairul Nizam selaku tekong gantian

mempamerkan prestasi begitu menakjubkan untuk menumbangkan regu Thailand, Poramet Siriswat, Sittipong Khamchan, Varayut Jantarasena (Siriwat Sakha) 15-8, 15-12.

Sebelum itu, Malaysia turut cemerlang dalam acara double menerusi gandingan Aidil Aiman Azwawi-Noraizat Mohd Nordin yang berjaya mendiamkan' Thailand disertai Seksan Tubtong-Kittiphum 17-16, 15-13.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilaporkan berkata, pengumuman mengenai insentif kepada skuad sepak takraw hanya akan diumumkan selepas perlawanan final berpasukan supaya tidak mengganggu fokus barisan pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 4:49 PM