PRAWET (kanan) akui Azlan perejam nombor satu negara. FOTO Ihsan Persatuan Sepaktakraw Thailand
PRAWET (kanan) akui Azlan perejam nombor satu negara. FOTO Ihsan Persatuan Sepaktakraw Thailand
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persembahan memukau dan bijak mengatur strategi mendapatkan mata setiap kali melakukan libasan sehingga membantu pasukan mencapai kemenangan terutama ketika menentang Thailand itu mendapatkan perhatian daripada barisan kejurulatihan negara berkenaan.

Jurulatih sepak takraw Thailand, Prawet Intra berkata, beliau melihat aksi yang dipamerkan oleh perejam utama negara, Mohamad Azlan Alias di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 sebagai permata buat Malaysia dan ia bakal menjadi pemain terbaik dunia selepas ini.

Jelasnya, beliau berpendapat pemain itu sudah berusaha sebaik mungkin untuk menjadi 'killer' terbaik terutama di Malaysia dan apa yang dilakukan oleh Azlan sememangnya membuahkan hasil begitu positif dalam kejohanan dunia itu.

"Malaysia mempunyai pemain yang sangat bagus. Buat masa sekarang, saya boleh katakan dia 'killer' nombor satu (Malaysia). Ini kerana dia berusaha dan bijak menggunakan teknik (maniam). Sekarang ini, tahap permainan tak begitu jauh dengan Thailand," katanya.

Tambahnya lagi, Prawet juga melihat pembangunan sepak takraw di Malaysia juga semakin baik sehingga membolehkan Malaysia mencipta kejutan dalam acara double dan regu di Piala Dunia minggu lepas.

"Sangat bagus. Malaysia mempunyai usaha pembangunan sepak takraw. Banyak kejohanan yang dianjurkan dan juga pembangunan dilakukan. Sekarang (Malaysia) boleh meraih gelaran dalam acara double dan regu.

"Saya harap rakyat Malaysia dapat menyokong pembangunan yang ada ini," katanya.

Sebagai makluman, Malaysia menjadi juara sulung dalam acara double selain merangkul kejuaraan bagi acara regu yang dianggotai oleh Azlan, Farhan Adam (apit kiri) dan Mohammad Syahir Rosdi (tekong) dan ia lebih manis apabila kemenangan itu dilakukan dengan menewaskan Thailand di pentas akhir di hadapan penyokong setia negara.

Terdahulu, dalam aksi final acara regu berpasukan yang menutup tirai Ahad lalu, hasrat skuad kendalian Ahmad Jais Baharun untuk menamatkan kemarau 33 tahun tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Thailand.

Namun pujian harus diberikan kepada trio negara itu kerana mereka berjaya menewaskan regu utama Thailand, Poramet Siriswat, Siriwat Sakha dan Varayut Jantarasena dalam pertarungan penuh dramatik dengan keputusan 9-15, 15-11, 15-13 untuk mendapatkan mata pertama buat negara tetapi dua regu selepas itu terpaksa akur tewas kepada lawan sekali gus skuad Gajah Perang meneruskan dominasi dalam acara itu.

Untuk rekod, Azlan dan rakan-rakan mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam kejohanan itu apabila mencatatkan kemenangan apabila diturunkan sama ada dalam acara regu mahupun regu berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 2:39 PM