Dr Asits Sanna
Dr Asits Sanna
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Seramai 191 individu dijangkiti gastroenteritis akut (AGE) disyaki berpunca daripada Rotavirus yang menyebabkan muntah, cirit-birit dan demam di daerah Tenom bermula 2 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Asits Sanna berkata, wabak itu dinotifikasikan pada 6 Jun lalu selepas banyak kes dengan gejala sama direkodkan di daerah itu.

Katanya, JKNS melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tenom mula mengenal pasti peningkatan kes AGE pada 4 Jun lalu menerusi survelan AGE yang dijalankan secara berterusan.

"Siasatan lanjut berdasarkan tarikh mula gejala yang dilaporkan di antara 2 Jun sehingga 13 Jun mendapati, jumlah notifikasi kes AGE adalah sebanyak 191 kes.

"Sebanyak 154 kes menerima rawatan sebagai pesakit luar, manakala 37 orang lagi dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Sebanyak 33 kes sudah discaj dan hanya empat kes yang masih berada di wad, tapi dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu bagi menjawab surat yang tular di WhatsApp sebelum ini berkaitan peningkatan kes AGE di daerah Tenom.

Sementara itu, Dr Asits berkata, berikutan wabak berkenaan JKNS mengaktifkan aktiviti kawalan termasuk siasatan epidemiologi, makmal, persekitaran dan pendidikan kesihatan kepada kes serta orang awam.

"Setakat ini, sebanyak 19 sampel klinikal diambil daripada kes yang dimasukkan ke wad Hospital Tenom dan didapati 16 sampel klinikal menunjukkan kehadiran Rotavirus.

"Punca jangkitan yang disyaki berkemungkinan daripada pengambilan air yang tercemar. Sampel persekitaran juga diambil bagi mengesan punca kejadian.

"Bagaimanapun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. Pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) juga dimaklumkan untuk mengambil tindakan pemantauan pengklorinan air terawat di daerah itu," katanya.

Beliau berkata, jangkitan Rotavirus dikaitkan dengan jangkitan pada usus yang biasa berlaku terhadap kanak-kanak.

Katanya, gejala jangkitan ialah cirit-birit, muntah dan demam yang boleh menyebabkan kekurangan air dalam badan atau dehidrasi serta boleh membawa maut sekiranya rawatan lanjut tidak diberikan segera.

"Rotavirus boleh ditularkan melalui air atau makanan yang tercemar dan kontak secara langsung dari najis ke mulut (faecal-oral) seseorang individu.

"Selain itu, ia juga boleh merebak secara kontak ke mulut melalui tangan, alat permainan atau permukaan tercemar," katanya.

Dr Asits berkata, sebagai pencegahan, JKNS menyarankan beberapa langkah perlu untuk mengelak jangkitan, antaranya sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan serta memasak makanan dengan cara yang betul dan dimasak dengan sempurna.

Katanya, makanan pula perlu disimpan pada suhu yang sesuai dan di tempat bersih, manakala penggunaan air perlu memastikan sumber air yang selamat dan bersih selain hanya meminum air yang sudah dimasak.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala cirit-birit.

"JKNS dengan kerjasama PKD Tenom akan terus memantau situasi kes AGE melalui survelan AGE di semua fasiliti kesihatan di daerah Tenom. JKNS akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 11:50 AM