GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Cemburu menjadi punca seorang lelaki cedera dipukul dalam kejadian di Bahau pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 50 dipukul dengan sebatang kayu selain suspek turut merosakkan cermin hadapan van milik mangsa.

"Kejadian berlaku bersebelahan sebuah hotel dengan suspek berusia 50 tahun menggunakan kayu yang diambil di tepi jalan.

"Mangsa dirawat di Hospital Jempol. Siasatan awal mendapati, suspek berang dengan mangsa yang selalu keluar dengan isteri suspek," katanya.

Menurut beliau, mangsa turut mengalami kerugian RM300 akibat kerosakan cermin hadapan van miliknya.

Suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 12:52 PM