Muhammad Razi Sulaiman dari Kampung Banggol Stol memegang lembu peliharannya sebelum ibadah korban dilakukan. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
Muhammad Razi Sulaiman dari Kampung Banggol Stol memegang lembu peliharannya sebelum ibadah korban dilakukan. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
Nor Fazlina Abdul Rahim


Rantau Panjang: Pengusaha lembu di Kelantan menyifatkan permintaan untuk ibadah korban berkurangan sehingga 50 peratus tahun ini, walaupun harga lembu masih sama seperti tahun sebelumnya.

Mereka mendakwa, permintaan berkurangan mungkin disebabkan ramai perantau tidak pulang untuk menyambut Aidiladha berikutan cuti raya yang singkat selain orang ramai berdepan kekangan kewangan.

Muhammad Razi Sulaiman, 43, dari Kampung Banggol Stol, berkata, jika sebelum ini dia melakukan penyembelihan setiap kali Aidiladha sebanyak 20 hingga 25 ekor lembu, namun tahun ini jauh berkurangan kepada 13 ekor lembu.

Dia yang sudah terbabit dalam penternakan lembu sejak 15 tahun lalu berkata, antara faktor yang menyumbang kepada kurang sambutan disebabkan cuti raya yang terhad.

"Selain itu mungkin mereka yang pulang tidak melakukan ibadah korban disebabkan kekangan kewangan.

"Boleh dikatakan tahun ini adalah sambutan paling kurang dalam tempoh 15 tahun walaupun harga lembu adalah sama berbanding tahun lalu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, penternak lembu dari Kampung Serdang, Mahmood Ali, 45, turut memaklumkan perkara sama mengenai sambutan untuk ibadah korban Aidiladha tahun ini.

"Saya sendiri tahun ini hanya membuat penyembelihan 15 ekor berbanding 25 hingga 30 ekor tahun lalu.

"Malah, untuk mendapatkan pelanggan bagi 15 ekor lembu pun mengambil masa yang lama berbanding tahun sebelumnya.

"Jika sebelum ini seminggu selepas Aidilfitri, orang sudah bertanyakan untuk membuat ibadah korban, tahun ini saya pula terpaksa mencari pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 12:33 PM