Tekong regu kedua negara Mohammad Syahir membuat servis ketika bertemu lawan. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Tekong regu kedua negara Mohammad Syahir membuat servis ketika bertemu lawan. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
BERNAMA

TEKONG utama negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi mahu menjadikan Sukan SEA Kuala Lumpur sebagai medan mengembalikan maruah sepak takraw negara selepas sering kali dibayangi kehebatan pasukan Thailand.

Mohammad Syahir, 21, bersama akan sepasukan nekad menamatkan kemarau 26 tahun pingat emas dalam acara regu berpasukan dengan melenyapkan ego Thailand yang dilihat memperlekehkan keupayaan pasukan negara dalam acara itu.

Kali terakhir Malaysia memperoleh emas regu berpasukan adalah di Sukan SEA Manila Filipina pada 1991 dengan menewaskan Thailand 2-1.

Beliau selaku ketua pasukan negara berkata kejayaan bakal menjadi bonus buat skuad sepak takraw kebangsaan selain membuka mata rakyat Malaysia terhadap kemampuan pasukan negara menumbangkan musuh tradisi negara itu.

“Persediaan saya dan pasukan ketika ini cukup baik untuk berdepan pasukan lawan seperti Thailand nanti termasuk telah berguru di sana selama dua bulan baru-baru ini.

“Latihan yang mendapat bimbingan jurulatih dari negara Gajah Putih itu sangat berguna dalam meningkatkan kemahiran selain mempertajamkan teknik ketika melakukan servis yang mampu menyumbang mata buat pasukan,” katanya.

Beraksi di laman sendiri memberi kelebihan kepada Malaysia dan beliau antara tonggak kejayaan negara menyumbang emas acara antara regu di Sukan SEA Singapura pada 2015.

Syahir mengakui berasa tertekan namun berazam mahu menghadiahkan aksi terbaik buat seluruh rakyat Malaysia.

Selain fokus utama pingat emas acara berpasukan, beliau turut menyasarkan untuk mempertahankan emas acara antara regu yang dimenangi pada edisi lalu selepas membenam cabaran Laos dengan keputusan 2-0 pada aksi final.

Untuk rekod Thailand tidak menyertai acara antara regu ketika Sukan SEA Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 4:23 PM