Antara masyarakat Rohingya dan tempatan yang hadir bagi melihat lembu yang akan dikorbankan ketika majlis Qurban masyarakat Rohingya sempena Hari Raya Aidiladha di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Antara masyarakat Rohingya dan tempatan yang hadir bagi melihat lembu yang akan dikorbankan ketika majlis Qurban masyarakat Rohingya sempena Hari Raya Aidiladha di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Terdidik mengenai kebaikan ibadah korban membuatkan masyarakat Islam Myanmar sanggup berhabis bagi memastikan mereka tidak ketinggalan melaksanakan ibadah setahun sekali berkenaan.

Bagi Zahirudin Nurislam,28, yang menetap selama 10 tahun di negara ini, dia menyimpan wang selama setahun bagi membeli seekor lembu sado berharga lebih RM19,000 untuk dibuat korban, tahun ini.

"Saya orang biasa, cuma niaga bawang saja, tetapi saya tekad menyimpan duit setiap bulan untuk buat korban.

"Apa yang membuatkan saya lebih bersemangat mengumpul duit untuk korban ialah apabila melihat ada ramai lagi orang di luar sana susah daripada saya.

"Saya harap ibadah saya ini diterima Allah SWT dan tahun depan insya-Allah saya mahu buat lagi korban supaya dapat memanfaatkan lebih ramai golongan yang memerlukan," katanya ketika ditemui pada Majlis Qurban Perdana Masyarakat Myanmar Muslim, di sini, hari ini.

Sementara itu, tukang masak, Ali Kadir, 48, berkata dia juga mengumpul wang selama setahun untuk mengorbankan seekor lembu berharga RM6,500 yang dikongsi dengan lima adik beradiknya.

"Ini tahun kelima saya berpeluang buat ibadah korban, kalau tak buat rasa hati saya macam tak tenang saja.

"Ini kerana kami sudah biasa dididik sejak kecil yang mengikut Mazhab Hanafi, korban ini satu kewajipan.

"Jadi, sudah macam rutin dapat saja gaji bulanan saya simpan siap-siap duit untuk buat korban dan sebulan sebelum Aidiladha, saya pecahkan tabung," katanya.

Katanya, suasana menyambut Aidiladha di tempat kelahirannya Yangon tidak banyak beza dengan Malaysia.

"Setiap kali tiba Aidiladha memang kampung kami meriah kerana ramai penduduk termasuk nenek, mak dan ayah saya akan buat korban setiap tahun.

"Suasana itu mungkin tidak dapat diulangi lagi kerana mak dan ayah saya sudah meninggal dunia, malah saya juga sudah 12 tahun tidak balik ke sana.

"Sambutan di Malaysia tidak kurang meriahnya sekali gus mengubat kerinduan saya terhadap kampung halaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 1:03 PM