BRYSON DeChambeau gembira bersama trofi kemenangan. FOTO Agensi
BRYSON DeChambeau gembira bersama trofi kemenangan. FOTO Agensi
AFP

Pinehurst, Amerika Syarikat: Kebangkitan saat akhir oleh Bryson DeChambeau menyaksikan dia meranapkan impian Rory McIlroy apabila merangkul kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat (AS) di Pinehurst, awal pagi tadi.

McIlroy yang mendahului dua pukulan dengan berbaki lima lubang akhirnya akur dengan ketenangan dipamerkan DeChambeau yang melakukan bogey dalam tiga daripada empat lubang terakhir untuk menyambar trofi kejuaraan.

"Saya masih tidak dapat mempercayainya," kata DeChambeau. "Ia luar biasa".

DeChambeau yang pernah memenangi Terbuka AS pada 2020, mencatat satu atas par 71 untuk berakhir dengan enam bawah par 274, manakala McIlroy merakam 69 bagi catatan 275 keseluruhan selepas 72 lubang.

Menerusi kejayaan itu, DeChambeau berjaya membawa pulang hadiah wang tunai AS$4.3 juta (RM20.3 juta).

Malah susulan kemenangan itu, kedudukan ranking DeChambeau dijangka melonjak dari tangga ke-38 ke tangga ke-10 sekaligus berpeluang beraksi selama lima tahun dalam semua kejohanan major.

Ditanya tentang McIlroy, dia akui tidak menyangka mampu mengatasi lawannya itu yang hampir memenangi kejuaraan sebelum pesaingnya hilang rentak.

"Mampu untuk bersaing dengan pemain hebat sepertinya sesuatu yang amat istimewa," kata DeChambeau mengenai McIlroy, yang meninggalkan lapangan tanpa bercakap kepada media selepas kegagalan teruknya itu.

"Baginya untuk terlepas pukulan putt itu (di lubang ke-18), saya tidak pernah mendoakan ia berlaku kepada sesiapa. Ia hanya berlaku sebegitu," kata DeChambeau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 11:54 AM