PELUMBA Muhammad Ridwan Sahrom (tengah) meraikan kemenangan dengan memperoleh pingat Emas bagi acara Men Elite 1KM Time Trial pada Kejohanan Trek Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional Nilai, hari ini. Pingat Perak dimenangi oleh pelumba Melaka Muhammad Hafiq Mohd Jafri (kiri) dan pingat Gangsa Ahmad Safwan Ahmad Nazeri dari Buceros Cycling Club. FOTO BERNAMA
PELUMBA Muhammad Ridwan Sahrom (tengah) meraikan kemenangan dengan memperoleh pingat Emas bagi acara Men Elite 1KM Time Trial pada Kejohanan Trek Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional Nilai, hari ini. Pingat Perak dimenangi oleh pelumba Melaka Muhammad Hafiq Mohd Jafri (kiri) dan pingat Gangsa Ahmad Safwan Ahmad Nazeri dari Buceros Cycling Club. FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil


Nilai: Ketiadaan Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, dalam saingan acara satu kilometer (km) ujian masa, memberi ruang kepada pelumba muda, Muhammad Ridwan Sahrom, untuk mendominasi saingan berkenaan dengan meraih pingat emas.

Ridwan, 23, dari Johor mencatat masa 1.01.529 saat (s) meninggalkan pesaing terdekat, Muhammad Hafiq Mohd Jafri (Melaka) yang mencatat 1.04.079s untuk memenangi pingat perak manakala Ahmad Safwan Ahmad Nazeri (BCR) memenangi gangsa selepas mencatat masa 1.04.167s.

"Saya sangat gembira hari ini kerana dapat melakukan catatan masa terbaik selepas catatan sebelum ini hanya 1.02s, ini pencapaian terbaik tahun ini.

"Kali ini saya meraih dua emas dan masing-masing satu perak serta gangsa. Satu pencapaian yang saya nantikan. Namun begitu semuanya ini adalah atas dorongan dan rangsangan daripada Datuk Azizulhasni dan abang ( Muhammad Shah Firdaus) selain jurulatih.

"Walaupun dua hari lalu kaki saya seperti tak berada dalam keadaan baik tapi saya ketepikan untuk kayuh sampai ke penghujung kejohanan. Semalam pun saya ada rasa was-was untuk berlumba hari ini tapi, Alhamdullilah, tak sangka juga dapat emas hari ini," katanya selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Trek Kebangsaan 2024, di Velodrom Nasional, di sini, lewat petang ini.

Terdahulu, dalam acara sprint, Ridwan mempamerkan kayuhan bertenaga dengan catatan masa 9.929s.

Dia akui pencapaian itu adalah batu loncatan untuknya terus menyerlah pada kejohanan lain akan datang.

Sementara itu, jaguh trek berbasikal wanita negara, Nurul Izzah Izzari Mohd Asri mengungguli kategori wanita 500m ujian masa dengan meraih pingat emas.

Pelumba Kedah itu mengenepikan saingan dari Selangor A, Yong Ang Tung yang meraih perak manakala Pulau Pinang, Nurul Aliana Syafika Azizan meraih gangsa.

Nurul Izzah menyifatkan kejayaan itu sebagai pembakar semangat dalam persiapannya untuk menghadapi saingan lebih sengit di Olimpik Paris 2024, Julai depan.

"Walaupun masa yang saya catatkan hari ini tidak begitu baik, namun pencapaian ini tetap bermakna dalam persiapan menuju ke Olimpik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 10:14 PM