BEASLEY (tengah) yakin barisan pelumbanya dapat sesuaikan diri situasi di Hangzhou. FOTO AZRUL EDHAM
BEASLEY (tengah) yakin barisan pelumbanya dapat sesuaikan diri situasi di Hangzhou. FOTO AZRUL EDHAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Barisan pelumba berbasikal trek negara tidak berdepan masalah besar untuk berikan terbaik di temasya Sukan Asia walaupun jadual mereka terlalu padat dengan perlumbaan di peringkat antarabangsa.

Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley berkata, semua pelumba terutama Datuk Azizulhasni Awang giat melakukan persiapan rapi dalam usaha meraih keputusan positif di temasya Sukan Asia Hangzhou.

Beliau berkata, pasukan China selaku tuan rumah sudah pastinya akan menyusun strategi bagi memastikan atlet mereka mempunyai kelebihan pada temasya itu dan situasi sama turut berlaku dalam acara berbasikal trek.

Katanya, barisan kejurulatihan akan pastikan pelumba negara berada di tahap kecergasan terbaik selain menyusun strategi bagi memastikan wakil negara membawa pulang sesuatu untuk Malaysia.

"Kami akan berada dalam keadaan yang lebih baik (di Sukan Asia), kami tahu jadual itu tidak ideal seperti format Sukan Olimpik tetapi kami akan tetap mengharunginya.

"Jika kami berjaya mara ke suku akhir acara pecut, pelumba akan berentap sebanyak tiga pusingan, namun saya yakin pelumba kita akan habiskannya dalam dua pusingan sahaja, dan kemudian di peringkat separuh akhir perkara yang sama juga akan berlaku dan seterusnya peringkat akhir.

"Anda mungkin akan berhadapan kemungkinan minima enam perlumbaan ataupun jika lebih teruk, sembilan perlumbaan dalam tempoh sehari, itu adalah jumlah yang banyak. Apa pun kami akan cuba menghadapinya satu persatu, dan memantau keadaan Azizul, setakat ini dia dalam keadaan yang terbaik," katanya.

Selain itu, beliau berkata, setiap negara yang menganjurkan temasya sukanakan memastikan atlet mereka lebih selesa dengan format yang disusun.

"Kita pula tidak mempunyai pilihan sebegitu kerana dua pelumba kita (Azizulhasni dan Shah Firdaus Sahrom) akan beraksi untuk kedua-dua acara pecut dan keirin," katanya.

Acara berbasikal trek akan mempertaruh 12 pingat emas dan dilangsungkan selama tiga hari sahaja bermula pada 26 hingga 29 September di Velodrom Pusat Sukan Chun'an Jieshou.

Mengikut rekod, pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2023 di Glasgow, Scotland, bulan lalu, iaitu aksi terakhir Azizulhasni, The Pocket Rocketman itu gagal meraih sebarang pingat berikutan sukar melalui proses pemulihan dan tersilap strategi berikutan jadual perlumbaan padat.

Azizulhasni meraih satu pingat emas menerusi acara pecut pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 selain turut meraih pingat perak (pecut berpasukan) dan gangsa untuk acara keirin.

Selain Azizulhasni dan Shah Firdaus, skuad berbasikal negara turut dibarisi sembilan lagi pelumba iaitu Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Yusri Shaari, Abdul Azim Aliyas, Umar Hasbullah, Anis Amira Rosidi, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Nurul Aliana Syafika Azizan serta Yong Ann Yii.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 12:47 PM