PELUMBA basikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri. FOTO Agensi
PELUMBA basikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri. FOTO Agensi
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Datuk Azizulhasni Awang melihat kejayaan yang diukir oleh Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dalam acara keirin wanita elite di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India semalam sebagai permulaan untuk dirinya melangkah lebih jauh serta mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Bagi Azizulhasni, saiz fizikal bukan faktor utama untuk seseorang mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa dan kejohanan seperti ACC itu adalah platform terbaik untuk pelumba negara menunjukkan keupayaan sebenar mereka.

"Kejayaan Nurul Izzah adalah semboyan kepada landskap sukan Malaysia yang beliau mempunyai masa depan yang cerah untuk pergi lebih jauh. Pecutan Nurul Izzah semalam juga diharap mengingatkan semua pihak yang saiz tubuh badan itu bukanlah indikator terbesar didalam menentukan bakat seseorang.

"ACC New Delhi (2024) merupakan tempat dan waktu terbaik kepada pelumba-pelumba negara untuk menonjolkan potensi sebenar mereka termasuk untuk merangkul kejuaraan asia yang sentiasa menjadi idaman oleh semua pelumba di rantau asia.

"Nurul Izzah menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi dan beliau mempamerkan kemahuan yang mengatasi segala-galanya,"tulisnya di Instagram miliknya.

Sementara itu, Azizulhasni turut memuji seorang lagi pelumba negara, Anis Amira Rosidi turut berjaya membanggakan Malaysia selepas meraih gangsa dalam aksi final itu.

Selain itu beliau turut memberi kata-kata semangat buat Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Ridwan Sahrom meskipun tidak berjaya meraih pingat dalam acara keirin lelaki elit semalam.

"Kita semua juga harus memberikan pujian kepada rakan sepasukan beliau iaitu Anis diatas pencapaian pingat Gangsa semalam.

"Semangat yang beliau tonjolkan didalam perlumbaan untuk terus bertahan dengan kelajuan sehingga ke garisan penamat menjadi bukti kemahuan tinggi yang dimiliki.

"Untuk rekod, Anis berlumba didalam kecederaan dan sudah tentu kejayaan pingat Gangsa itu merupakan pencapaian yang sangat manis buat beliau.

"Buat dua pelumba adik-beradik, Shah Firdaus dan Ridwan pula, syabas diatas usaha yang diberikan semalam. Diharap anda berdua akan tidak akan mengaku kalah dan akan terus berusaha dengan lebih gigih untuk masa hadapan,"katanya.

Terdahulu Arena Metro melaporkan pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri terus mempamerkan kayuhan bertenaga apabila menjelmakan kilauan pingat emas dalam acara keirin wanita di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India, hari ini.

Dalam aksi final yang berlangsung di Velodrom Indira Gandhi sebentar tadi, 'The Pocket Rocketwoman' berjaya menebus kekecewaan apabila menidakkan kemenangan pelumba dari China, Tong Mengqi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 2:44 PM