AZIZULHASNI Awang yang mewakili Terengganu dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang mewakili Kedah bersama pingat masing-masing pada Kejohanan Trek Berbasikal Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional. FOTO AZRUL EDHAM
AZIZULHASNI Awang yang mewakili Terengganu dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang mewakili Kedah bersama pingat masing-masing pada Kejohanan Trek Berbasikal Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Amin Jalil


Nilai: Status jaguh berbasikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, dan pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Asri, jelas buat mereka apabila masing-masing tidak berdepan masalah untuk mendominasi acara keirin kategori elit Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2024.

Kedua-duanya tampak tidak perlu mengerah kudrat mereka untuk meraih kemenangan sekali gus meraih pingat emas di Velodrom Nasional di sini, hari ini.

Biarpun diberikan tentangan sendiri rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sharom, namun The Pocketrocketman unggul di depan dengan menamatkan saingan penuh bergaya selepas mencatat masa 10.395 saat (s).

"Tampak ada saingan sengit daripada rakan lain termasuk rakan sepasukan dari Terengganu Harif Salleh, tapi saya anggap itu sesuatu yang positif dalam persiapan untuk ke Olimpik Paris.

"Saya perlu kekalkan momentum baik dengan meraih kemenangan kerana ia penting sebagai sandaran untuk beraksi di Paris nanti," kata Azizulhasni selepas menerima hadiah.

Shah Firdaus dan adiknya, Muhammad Ridwan Sharom yang mewakili Johor masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Sementara itu, Nurul Izzah Izzati muncul juara keseluruhan acara keirin akhir wanita elit apabila mencatat kemenangan dalam perlumbaan pertama dan kedua.

Pelumba kebangsaan dari Kedah itu mencatat masa 11.449s pada final untuk meraih pingat emas sekali gus mengenepikan pencabar terdekar, Yong Ann Tung dari Selangor A yang meraih pingat perak dan Nurul Aliana Shafika Azizan (Pulau Pinang) yang meraih gangsa.

Nurul Izzah menganggap masa yang dicatatkannya itu bukan sasaran sebenar kerana misinya adalah untuk mencatat masa di bawah 11.0s.

"Bagaimanapun ia tetap baik sebagai persiapan untuk menghadapi cabaran lebih besar di Olimpik, Julai depan.

"Saya harap dapat melakukan catatan lebih baik pada acara kejar mengejar, esok," kata pelumba bertubuh kecil berusia 21 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 8:42 PM