AKSI antara Iran bertemu Taiwan, hari ini. FOTO PERSATUAN SEPAKTAKRAW MALAYSIA (PSM)
AKSI antara Iran bertemu Taiwan, hari ini. FOTO PERSATUAN SEPAKTAKRAW MALAYSIA (PSM)
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Iran membuktikan mereka antara pendatang baharu yang harus diberikan perhatian apabila berjaya muncul juara berganda bagi acara double dan regu dengan mengecewakan Taiwan dalam perlawanan akhir Divisyen 1 Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Skuad double Iran yang dibarisi Mehdi Ghobadi dan Amir Hossein Gharanjik terpaksa bekerja keras apabila tewas set pertama sebelum bangkit dua set selepas itu untuk menang 11-15, 15-11, 15-11 dalam pertarungan selama 60 minit.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan bermain dengan sangat baik dan saling bertukar mata sehingga di penghujung permainan, namun kesilapan mudah dilakukan pemain double Taiwan dibarisi Lai Sheng-wen dan Tao Ping-yeh menyaksikan Iran muncul juara.

Sementara itu dalam acara regu pula, hasrat Taiwan untuk menebus kehampaan dalam acara double tidak kesampaian apabila terpaksa akur tewas straight set 9-15, 10-15 di tangan Iran.

Iran yang menurunkan Sina Rezaei (tekong), Majid Ghafari (apit kanan) dan Mehdi Ghobadi (apit kiri) ternyata lebih baik dan konsisten dalam memburu kemenangan. Mehdi yang sebelum itu turun dalam acara double seperti membawa tuah kepada pasukan regu mereka.

Pujian harus diberikan kepada Sina Rezaei apabila servis yang dilakukan banyak memberikan mata penting buat Iran selain tidak mensia0siakan setiap peluang untuk mendapatkan mata demi mata.

Kemenangan mereka pada edisi pertama di Piala Dunia kali ini sudah pasti akan membuka peluang lebih banyak negara lain untuk bersama-sama pada kejohanan akan datang dan memeriahkan lagi sukan sepak takraw selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 5:59 PM