Keadaan kenderaan yang membawa pelajar SMK Panggung Jaya ke Pos Simpor yang terbalik, semalam. FOTO Ihsan Penduduk
Keadaan kenderaan yang membawa pelajar SMK Panggung Jaya ke Pos Simpor yang terbalik, semalam. FOTO Ihsan Penduduk
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Tindakan pantas 13 pelajar Orang Asli Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya, di sini, melompat daripada kenderaan pacuan empat roda yang mengalami masalah brek menyelamatkan mereka dari cedera parah.

Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan, berkata dalam kejadian pada Khamis lalu, pacuan empat roda yang membawa pelajar Orang Asli pulang ke Pos Simpor sempena cuti Aidiladha terbalik apabila kenderaan itu mengalami pam brek yang pecah.

"Kenderaan pacuan empat roda yang membawa pelajar itu dilaporkan hilang kawalan akibat daripada pam brek yang pecah dan menyebabkan kenderaan tersebut terbalik di Bukit Setol, laluan menuju ke Pos Simpor.

"Semua pelajar hanya mengalami kecederaan ringan. Tindakan pantas pelajar yang melompat keluar dari kenderaan sebelum ia terbalik menyelamatkan mereka daripada kecederaan serius," katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata sejurus menerima makluman kejadian, pihak segera menghantar kenderaan syarikat kontraktor kesihatan bagi membawa keluar pesakit untuk menerima rawatan susulan di Klinik Kesihatan Kuala Betis.

"Kenderaan kontrak kesihatan segera dihantar ke lokasi kejadian untuk membawa pelajar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Semua pelajar menerima rawatan perubatan dan tiada kecederaan serius yang

dilaporkan. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan dan bantuan segera kepada pelajar," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Simpor, Jamil Gabon berkata, dia berterima kepada pihak Jakoa yang bertindak pantas membawa pelajar ke klinik kesihatan untuk menerima rawatan.

"Cuma apa yang kami harapkan kenderaan yang akan digunakan sentiasa diselenggara dan berada dalam keadaan baik sebelum mengambil anak-anak untuk di hantar atau balik dari sekolah kerana ini membabitkan keselamatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 8:54 AM