Kylian Mbappe (dua dari kiri) bersama rakan sepasukan dalam kem latihan Perancis. FOTO Agensi
Kylian Mbappe (dua dari kiri) bersama rakan sepasukan dalam kem latihan Perancis. FOTO Agensi
AFP

Dusseldorf, Jerman: Kylian Mbappe dan Perancis memasang impian yang sama di Euro 2024 selepas cemerlang memacu negaranya sebanyak dua kali beraksi di final Piala Dunia pada dua edisi berturut-turut.

Les Bleus memenangi Piala Dunia 2018 yang berlangsung di Rusia sebelum dikecewakan Argentina dalam final Piala Dunia 2022 di Qatar.

Kini Perancis mahu mengubati kekecewaan di Piala Dunia 2022 itu dengan tampil lebih baik di saingan Euro di mana mereka akan turun menentang Austria dalam aksi pertama Kumpulan D, esok.

Perancis sudah memenangi Liga Negara-Negara UEFA pada 2021 namun masih belum menjuarai Piala Eropah di bawah era pengendali Didier Deschamps sejak membimbing pasukan pada 2012.

Biarpun hampir memenanginya pada 2016 sebelum tewas kepada Portugal yang diketuai Cristiano Ronaldo di final itu, Perancis berazam menamatkan badi itu selepas kali terakhir Deschamps sendiri menjulang kejuaraan Euro pada edisi 2020 lalu.

Secara kebetulan, ketua pasukan Perancis ketika itu adalah Deschamps dan mungkin beliau mahu memenanginya pula selaku jurulatih bersama negaranya.

"Apa pun yang berlaku, beliau (Deschamps) meninggalkan kenangan yang tidak dapat dilupakan dalam pasukan kebangsaan Perancis," kata Mbappe mengenai Deschamps dalam temubual dengan akhbar tempatan.

"Sekarang jika beliau mahu mencipta lebih banyak sejarah, kami perlu melakukan sesuatu pada musim panas ini, kerana Euro adalah satu-satunya perkara yang beliau masih belum menang sebagai jurulatih.

"Selepas itu baharulah beliau memiliki rekod sempurna dengan sudah memenangi Piala Dunia, Liga Negara-Negara UEFA dan Piala Eropah selaku jurulatih," kata Mbappe.

Perancis diletakkan sebagai pasukan pilihan menjulang trofi pada 14 Julai ini di Berlin, di mana ia adalah venue sama ketika negara itu tewas di tangan Itali dalam aksi final Piala Dunia 2006.

Selain Perancis dan Austria dalam Kumpulan D itu, dua lagi pesaing lain Belanda dan Poland dianggap pasukan yang mampu melepasi kumpulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 9:44 AM