POGACAR meraikan kejayaan di Liege. FOTO AFP
POGACAR meraikan kejayaan di Liege. FOTO AFP
AFP

Liege: Tadej Pogacar memenangi perlumbaan Liege-Bastogne-Liege selepas melakukan pecutan solo 30 kilometer (km) menuju garisan penamat yang dilakukan di laluan pendakian curam dan mengekalkan momentum sehingga muncul juara.

Menjelang aksi berganda Pogacar di Giro d'Italia dan Tour de France, pelumba Slovenia berusia 25 tahun itu mengejutkan lawan dengan pecutan hebat yang tidak dapat ditangkap dalam perlumbaan sejauh 254km di hutan Ardennes.

Dianggap sebagai pertarungan antara Pogacar dan juara Paris-Roubaix dan Tour Flanders, Mathieu van der Poel, pelumba Belanda itu sekadar menduduki tempat ketiga.

Wakil Perancis, Romain Bardet meraih tempat kedua, juga hasil penamat solo dengan ketinggalan 1 minit 39 saat (s) di belakang Pogacar sebelum disusuli Van der Poel 2:02s

Satu lagi pelumba kegemaran praperlumbaan ialah Tom Pidcock dari Britain, yang berada di tempat ke-10 selepas berdepan masalah mekanikal pada saat penting.

Kemenangan itu melupakan kekecewaan Pogacar di sini musim lalu selepas terjatuh sehingga menyebabkan pergelangan tangannya patah dan menjejaskan impiannya merangkul gelaran Tour de France.

"Ia adalah hari yang penuh emosi untuk saya," kata Pogacar yang kelihatan keletihan.

"Bukan hanya kerana tangan saya tetapi juga kerana dua tahun lalu sebelum perlumbaan ibu saya Urska meninggal dunia."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 12:50 AM