EVENEPOEL melintasi garisan penamat ketika muncul juara perlumbaan Liege-Bastogne-Liege. FOTO AFP
EVENEPOEL melintasi garisan penamat ketika muncul juara perlumbaan Liege-Bastogne-Liege. FOTO AFP
Reuters

Liege: Pelumba Belgium, Remco Evenepoel berjaya meraih kemenangan berturut-turut perlumbaan sehari, Liege-Bastogne-Liege selepas melintasi garisan penamat secara solo.

Perlumbaan berkenaan menyaksikan pelumba pilihan dari Slovenia, Tadej Pogacar terpaksa menarik diri selepas mengalami retak pergelangan tangan apabila terbabit dalam kemalangan.

Evenepoel dari Soudal Quick-Step melakukan pemecahan pertama ketika perlumbaan berbaki 34 kilometer (km) dengan pelumba Ineos Grenadier, Tom Pidcock menyertainya di kelompok depan.

Bagaimanapun, Evenepoel sekali lagi melakukan serangan pada pendakian seterusnya untuk meninggalkan pelumba Britain itu tatkala aksi berbaki 30km.

Walaupun hujan dan jalan raya basah, Evenepoel dilihat seperti terbiasa dengan keadaan seperti itu dan tiba di puncak Cote de la Roche aux Faucons, yang juga pendakian terakhir, kelebihan satu minit 18 saat (s).

Ketika menuruni puncak, dia sudah meraikan kejayaan bersama kereta pasukan Soudal Quick-Step sebelum melintasi garisan penamat untuk menjadi pelumba pertama juara berturut-turut sejak Michele Bartoli melakukannya pada 1998.

"Ia adalah perlumbaan sukar, dengan hujan dan jalan licin. Tayar belakang saya lari sama seperti tahun lalu (ketika melalui selekoh).

"Bagaimanapun, kami kekal tenang, melaluinya dengan baik dan mengikut segala perancangan untuk melakukan serangan selepas La Redoute," kata Evenepoel.

Juara dunia itu yang memakai nombor satu pada jersi pelanginya, menggesa penonton untuk bersorak lebih kuat ketika dia melintasi garisan penamat dengan mendepakan tangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 1:01 PM