VAN der Poel (kiri) terlebih dulu melintasi garisan penamat peringkat pertama Tour UAE. FOTO AFP
VAN der Poel (kiri) terlebih dulu melintasi garisan penamat peringkat pertama Tour UAE. FOTO AFP
AFP

Al-Mirfa: Pelumba Belanda, Mathieu van der Poel memenangi peringkat pertama Tour UAE dengan memecut menuju ke garisan penamat, manakala Chris Froome berada di kedudukan selesa dalam peloton untuk perlumbaan pertamanya bersama pasukan baru, Israel Start-Up Nation.

Von der Poel, yang juga pelumba cyclo-cross, berjaya mengetepikan rakan senegara, David Dekker pada 50 meter terakhir tatkala perlumbaan utama musim ini bermula di negara teluk.

Pelumba Denmark, Michael Morkov menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan sejauh 176 kilometer dari Al Dhafra ke Al Mirfa.

Penyandang juara Tour de France, Tadej Pogacar menamatkan perlumbaan di tempat kelima, manakala juara empat kali Tour de France, Froome menamatkan saingan tanpa sebarang masalah.

Pogacar, yang menduduki tempat kedua dalam perlumbaan tahun lalu berkata, dia yakin rakan sepasukannya dalam pasukan UAE-Team Emirates mampu muncul juara di laman sendiri.

"Ia peringkat yang sukar tapi akhirnya pasukan kami berjaya melakukan tugas dengan baik selepas empat pelumba berada di depan," kata pelumba Slovenia berusia 22 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 12:02 AM