TADEJ Pogacar. FOTO AFP
TADEJ Pogacar. FOTO AFP
Reuters

Alcudia: Tadej Pogacar dilihat sukar digugat pada Giro d'Italia tahun ini, malah dia boleh melakukan sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah berbasikal dan memenangi ketiga-tiga Grand Tour pada musim yang sama, menurut Alberto Contador.

Pogacar dari Slovenia memulakan musim ini dengan cara yang penuh sensasi apabila memenangi Liege-Bastogne-Liege hujung minggu lalu selain turut memenangi Strade Bianche dan Jelajah Catalunya.

Pelumba UAE Team Emirates berusia 25 tahun itu adalah pilihan untuk memenangi jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan pada pada penampilan sulungnya di Giro dan Contador percaya Pogacar berada di landasan untuk membawa acara berbasikal lebuh raya ke satu tahap lebih tinggi.

"Saya fikir jika dia tidak sakit, kemalangan atau berdepan masalah mekanikal, ia amat sukar untuk mengalahkannya," kata pemenang dua kali Giro, Contador kepada Reuters di Mallorca.

"Dia beraksi dengan baik dalam cabaran pendakian panjang dan pendek, ketika ujian masa dia juga cemerlang walaupun dalam cuaca buruk, dia mempunyai segala-galanya," katanya lagi.

Pogacar memenangi Tour de France pada 2020 dan 2021 tetapi mahkota kejuaraan itu dirampas oleh Jonas Vingegaard dalam dua tahun terakhir.

Contador berkata pelumba Denmark itu sekali lagi akan menjadi penghalang utama untuk Pogacar menang buat kali ketiga di Perancis tahun ini.

Tetapi dia berkata Pogacar boleh memahat sejarah baharu dalam sukan berbasikal setaraf legenda hebat seperti Eddy Merckx dan Mathieu van der Poel dari Belanda.

"Saya rasa kita berada dalam detik emas untuk acara berbasikal lelaki ketika ini," kata Contador yang bersara pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 1:18 PM