SHELLY-Ann mahu fokus kepada keluarga.
SHELLY-Ann mahu fokus kepada keluarga.
AFP

Miami: Legenda pecut Jamaica Shelly-Ann Fraser-Pryce yang meraih tiga pingat emas Olimpik dan 10 kali juara dunia berkata, dia akan bersara selepas tamat Sukan Olimpik Paris tahun ini.

Bercakap kepada majalah wanita Amerika Syarikat (AS) Essence, Shelly-Ann berkata dia memaksa dirinya untuk bersara pada usia 37 tahun bagi menumpukan lebih masa dengan keluarga.

"Anak lelaki perlukan saya," katanya. "Saya dan suami sentiasa berada bersama sejak sebelum saya menang pada 2008. Dia banyak berkorban untuk saya. Kami bekerjasama membentuk satu pasukan.

"Kerana sokongan itulah saya boleh mencapai kejayaan sejak bertahun lalu dan saya fikir saya perlu membalas jasa dengan cara lain."

Dia kini giat menumpukan latihan untuk kejayaan Olimpik terakhir di Perancis. Shelly-Ann memenangi lapan pingat Olimpik termasuk emas 100 meter (m) di Beijing 2008 dan 2012 di London serta menjuarai 4x100m berganti-ganti di Tokyo.

Dia juga meraih perak 100m di Tokyo dan 200m di London serta gangsa 100m di Rio selain muncul juara dunia 100m pada 2009, 2013, 2015, 2019 dan 2022 di samping juara 200m pada 2013 serta 4x100m 2009, 2013, 2015 dan 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 10:35 AM