Shelly-Ann Fraser-Pryce. FOTO File Agensi
Shelly-Ann Fraser-Pryce. FOTO File Agensi
Agensi

JUARA dunia 100 meter empat kali, Shelly-Ann Fraser-Pryce berkata dia mampu mengatasi cabaran generasi muda sekali gus mengintai peluang memenangi pingat emas di Olimpik Tokyo.

Atlet berusia 33 tahun itu menjadi pelari wanita tertua yang memenangi kejuaraan 100m dunia di Doha pada September lalu dan jika dapat mempertahankan kejuaraan di Olimpik kelak.

Dia hanya kembali menyertai kejohanan awal tahun lalu selepas berehat selama dua tahun daripada sukan olahraga ketika meluangkan masa bersama anak lelakinya Zyon.

“Saya percaya ia mampu berlaku, mengambil kira kepada tahun yang saya lalui dan ruang untuk peningkatan,” kata pelari Jamaica itu.

“Ada perkara yang saya lakukan secara individu yang masih kurang dan saya tidak ambil ringan mengenainya.

“Ketika waktu berehat sementara dari sukan ini sebenarnya saya memberi tumpuan kepada persediaan dari segi mental untuk mensasarkan impian yang mahu dicapai.

“Saya memberi komitmen tinggi dan sememangnya sasaran penyertaan pada Sukan Olimpik yang keempat buat diri saya nanti.

Shelly-Ann menang pingat emas 100m di Beijing 2008 dan London 2012, sebelum memperoleh gangsa di belakang rakan senegara Elaine Thompson dan pelari Amerika, Tori Bowie di Rio 2016.

Dia juga mengesahkan akan menyertai satu lagi acara pecut iaitu 200m, acara di mana pelari Britain, Dina Asher-Smith memenangi pingat emas di Doha.

“Perancangan tahun lalu adalah untuk mengambil bahagian dua acara dan jurulatih memutus supaya saya tidak memberi tumpuan sangat dalam dua acara, selepas mengambil kira saya baru kembali daripada rehat yang panjang,” tambah Shelly-Ann, yang tersenarai dalam anugerah Atlet Wanita Terbaik Dunia pada Anugerah Laureus di Berlin yang dijadualkan berlangsung pada 17 Februari ini.

“Jadi tahun ini kami akan cuba melakukan dalam acara 100 dan 200m malah program saya sudah tertumpu ke arah itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 12:16 AM