AKSI Shelly-Ann ketika menyertai Liga Emas di Qatar pada Mei lalu. FOTO AFP
AKSI Shelly-Ann ketika menyertai Liga Emas di Qatar pada Mei lalu. FOTO AFP
AFP

Kingston: Shelly-Ann Fraser-Pryce mahu mengekalkan permulaan cemerlang musim ini di kejohanan ujian olahraga Jamaica yang bermula esok.

Shelly-Ann, juara dua kali 100 meter Olimpik dan empat kali juara dunia itu bakal mengetuai senarai atlet hebat di kejohanan empat hari yang berlangsung di Stadium Nasional, Kingston.

Pelari berusia 34 tahun itu muncul pelari terpantas dunia acara 100m wanita tahun ini dengan mencatat 10.63s, yang kedua terpantas dalam sejarah di Kingston awal bulan ini.

Hanya Florence Griffith-Joyner berlari lebih pantas daripada Shelly-Ann yang bertukar jurulatih selepas meraih ganga di Sukan Olimpik empat tahun lalu.

Shelly-Ann berdepan pencabar hebat dalam acara 100m dengan juara Olimpik 2016 Elaine Thompson-Herah mampu mengecewakannya.

Elaine mencatat masa ketiga terpantas tahun ini iaitu 10.78s di Florida pada Mei lalu dan memburu gelaran Jamaica kelimanya namun cabaran seorang lagi atlet, Natasha Morriso yang memiliki masa terbaik, 10.87s tidak boleh dipandang ringan.

Bagaimanapun, ketika acara 100m wanita memiliki ramai pelari berpotensi mendapatkan pingat Olimpik, situasi berbeza dalam kategori lelaki yang didominasi Usain Bolt sejak sekian lama.

Tiada pelari Jamaica yang mampu mencatat bawah 10 saat dalam acara 100m tahun ini dengan masa terbaik dicatat Nigel Ellis, 10.04s pada April lalu. Yohan Blake hanya mampu mencatat 10.05s tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 11:50 AM