SHELLY-ANN Fraser Pryce (tengah) juara Kip Keino Classic di Nairobi. -FOTO AFP
SHELLY-ANN Fraser Pryce (tengah) juara Kip Keino Classic di Nairobi. -FOTO AFP
AFP

Nairobi: Pelari legenda Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce mencatatkan masa terpantas dunia dalam acara 100 meter (m) tahun ini apabila merekodkan 10.67s untuk muncul juara pertandingan pembukaan musim ini di Nairobi.

Pelari berusia 35 tahun yang memenangi lapan pingat Olimpik termasuk pingat perak di Tokyo Ogos lalu meraih kemenangan selesa selepas pelari Namibia berusia 18 tahun, Christine Mboma menarik diri secara tiba-tiba sebelum rebah di trek.

Shelly-Ann menghampiri catatan masa terbaik peribadinya iaitu 10.60s yang dicatatkan di Lausanne pada Ogos 2021.

Hanya empat pelari wanita berlari lebih pantas dari Shelly-Ann Sabtu lalu, mereka adalah Marion Jones (10.65) dan Carmelita Jeter (10.64) dari Amerika, juara Olimpik Elaine Thompson-Herah (10.54) dan pemegang rekod dunia yang kontroversi dari Amerika Florence Griffith-Joyner (10.49).

Terdahulu juara Olimpik dalam acara 100m Marcell Jacobs menarik diri pada saat akhir kerana masalah usus ketika ramai menantikan kemunculannya.

Juara dari Itali itu mengejutkan ramai ketika menang di Sukan Olimpik tahun lalu, sepatutnya bersaing dengan pemenang pingat perak, Fred Kerley buat kali pertama sejak Tokyo.

Jacobs mengesahkan di media sosial bahawa dia akan beraksi seperti yang dirancang di tanah kelahirannya dalam acara 200m di Savona.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 11:51 AM