FIONA memenangi perlumbaan ujian Olimpik AS. -FOTO Kevin Morris
FIONA memenangi perlumbaan ujian Olimpik AS. -FOTO Kevin Morris
AFP

Miami: Fiona O'Keefe yang membuat penampilan sulung dalam acara maraton, memenangi Kejohanan Ujian Maraton Olimpik AS seterusnya melayakkan diri ke temasya Olimpik Paris manakala Conner Mantz menguasai kategori lelaki.

Fiona layak beraksi di kejohanan itu berdasarkan pencapaian dalam aksi separuh maraton, melengkapkan perlumbaan sejauh 42.16 kilometer (km) di Orlando, Florida, dalam masa dua jam 22 minit dan 10 saat - masa terpantas dalam sejarah ujian Olimpik wanita AS.

Itu sudah cukup untuk dia mengalahkan naib juara Emily Sisson, bekas pemegang rekod maraton AS dengan lebihan 32 saat manakala Dakotah Lindwurm di tempat ketiga, 2:25:31.

"Kami buktikan kami boleh menang dalam keadaan yang sukar, jadi saya fikir kami bersedia untuk beraksi di Paris," kata Fiona.

Emily yang dua kali berada dalam kelompok 10 terbaik dalam acara 10,000 meter (m) di kejohanan dunia, menduduki tempat ke-10 dalam acara 10,000m di Sukan Olimpik Tokyo, gembira kerana tidak lagi mempunyai sekatan pandemik Covid kali ini.

"Saya berasa sangat emosi, katanya.

"Saya mempunyai keluarga dan rakan saya di sini memerhati saya dan saya membuat penampilan kedua di Olimpik dan mereka boleh datang bersama saya kali ini. Saya gembira."

Sementara itu dalam kategori lelaki Mantz muncul juara selepas merekodkan masa 2:09:05s dengan rakan sepelatih, Clayton Young kedua turut menempah tempat ke Olimpik Paris.​

Leonard Korir berada di tempat ketiga merekodkan masa 2:09:57s tetapi perlu menunggu sehingga Mei untuk mengetahui keputusan sama ada penganjur akan memberi Amerika Syarikat tiga kuota dalam acara maraton lelaki di Olimpik Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 3:16 PM