KENENISA Bekele. FOTO AGENSI
KENENISA Bekele. FOTO AGENSI
AFP

Nairobi: Pelari legenda Ethiopia, Kenenisa Bekele akan kembali ke Sukan Olimpik untuk kali pertama dalam tempoh 12 tahun selepas namanya tersenarai dalam 10 atlet untuk ke Sukan Paris.

Bekele, 41, kali terakhir bertanding dalam Sukan Olimpik di London pada tahun 2012 di mana dia menduduki tempat keempat dalam acara 10,000 meter (m) lelaki sebelum diketepikan pada Olimpik 2016 dan 2020.

Bagaimanapun pencapaian luar biasa tempat kedua di maraton London pada April lalu sudah cukup untuknya mendapat tempat ke Sukan Olimpik Paris dalam pasukan yang turut menampilkan pemegang rekod dunia wanita, Tigist Assefa.

Bekele, yang memenangi tiga emas Olimpik dalam acara 5,000m dan 10,000m, akan meneruskan persaingannya dengan penyandang juara Olimpik, Eliud Kipchoge di mana bekas pemegang rekod dunia itu akan mewakili Kenya.

Kipchoge meraih keputusan lebih baik berbanding pesaingnya dari Ethiopia itu apabila kedua-duanya bertemu buat kali pertama di kejohanan dunia dekat Paris pada Ogos 2003.

Kipchoge bertahan untuk memenangi perlumbaan 5,000m menewaskan pelari Maghribi, Hicham El Guerrouj ke tempat kedua manakala Bekele menduduki tempat ketiga.

Bekele beralih ke larian maraton pada April 2014 dan dia mencatat masa keenam terpantas di Paris tetapi kariernya kemudian tenggelam susulan kecederaan.

Tigist pula muncul wanita pertama mencatatkan masa di bawah dua jam 12 minit dalam acara maraton wanita dengan rekod dunia 2:11:53 pada September lalu di Berlin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 8:53 AM