UMAR bersorak kegembiraan selepas memecahkan rekod kebangsaan 400m di Sukan Sea Kemboja, Mei lalu. FOTO ARKIB NSTP
UMAR bersorak kegembiraan selepas memecahkan rekod kebangsaan 400m di Sukan Sea Kemboja, Mei lalu. FOTO ARKIB NSTP
Lydia Saiful


Kuala Lumpur: Jaguh 400 meter (m) lelaki negara, Umar Osman mahu fokus kepada pengajian dan kariernya berbanding mencari pasangan hidup.

Penuntut jurusan Diploma Reka Bentuk dan Industri di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang, Johor, itu berkata, dia tidak terfikir untuk mempunyai pasangan dalam masa terdekat kerana banyak keutamaan lain perlu didahulukan.

Katanya, fokus utamanya adalah menamatkan pengajian dan sudah lama tidak mempunyai kekasih, malah tidak mempunyai 'taste' tertentu untuk mencari pasangan.

"Saya terbuka untuk pasangan tanpa menetapkan kriteria tertentu kerana yang penting, dia perlu memahami dan menerima kekurangan saya.

"Saya sedar memiliki banyak kelemahan dan fokus sekarang kepada karier serta pelajaran.

"Kesibukan harian saya kini adalah projek akhir di politeknik kerana ia adalah hujung semester 2.

"Saya ingin melanjutkan pelajaran ke Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat (AS) dan saya kini lebih kepada fokus dalam proses penyembuhan kerana baru-baru ini tercedera," katanya.

Umar dibelenggu kecederaan pangkal paha sejak sebelum Sukan Asia Hangzhou, September lalu dan kemudian mencipta rekod baharu di Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2023 di Chengdu, China dengan merekod masa 46.33 saat (s).

Menurutnya, sasarannya selepas ini adalah terus memecahkan rekod dalam acara kegemarannya itu.

"Tahun depan, saya akan bertanding di Sukan Universiti Asean di Surabaya dan kemudian mewakili Johor di Sukan Malaysia (Sukma).

"Sekiranya dapat memecahkan rekod larian di kejohanan akan datang, saya anggap itu adalah rezeki saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 5:10 PM