AKSI beregu lelaki negara, Man Wei Chong- Tee Kai Wun ketika menentang pemain Taiwan, Chiang Chien Wei- Wu Hsuan Yi pada pusingan pertama badminton Masters Malaysia di Arena Axiata Bukit Jalil. FOTO ASWADI ALIAS
AKSI beregu lelaki negara, Man Wei Chong- Tee Kai Wun ketika menentang pemain Taiwan, Chiang Chien Wei- Wu Hsuan Yi pada pusingan pertama badminton Masters Malaysia di Arena Axiata Bukit Jalil. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun bermula langkah kanan ketika mereka dalam usaha mengulangi aksi mara ke final seperti tahun lalu apabila mudah mara ke pusingan kedua Masters Malaysia hari ini.

Gandingan ranking ke-20 dunia itu menang aksi pusingan pertama selepas menumpaskan ranking ke-57 dunia dari Taiwan, Chiang Chien Wei-Wu Hsuan Yi 22-20, 21-12 dalam tempoh 36 minit di Axiata Arena Bukit Jalil di sini.

Menurut Kai Wun, untuk perlawanan sebentar tadi, mereka ada mengubah strategi permainan selepas tewas kepada lawan yang sama di Terbuka Australia.

"Ketika itu kami banyak buat kesilapan mudah. Hari ini pun kami ada buat kesilapan yang sama tetapi selepas itu kami ubah mentaliti dan tampil dengan idea yang lebih berkesan, dari sana kami dapat rentak permainan sebenar kami," kata Kai Wun selepas tamat perlawanan.

Ogos tahun lalu di Terbuka Australia mereka kalah 18-21, 17-21 kepada pasangan berkenaan di pusingan pertama Sydney, Australia.

Juara Terbuka Taiwan 2023 itu akan bertemu pemenang perlawanan antara dua rakan senegara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian dengan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong bagi perebutan tiket ke suku akhir, Khamis ini.

Situasi itu sekali gus menjamin satu slot buat Malaysia untuk aksi di kelompok lapan terbaik.

Pada edisi tahun lalu, Wei Chong-Kai Wun terlepas gelaran juara selepas kalah di tangan pasangan nombor tiga dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae di pentas final.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 5:48 PM