UMAR (kanan), Haziq dan Queenie bergambar bersama Pengurus Negara ASICS Malaysia, Boon Tib Soom Nik selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan. FOTO Ferzalfie Fauzi
UMAR (kanan), Haziq dan Queenie bergambar bersama Pengurus Negara ASICS Malaysia, Boon Tib Soom Nik selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan. FOTO Ferzalfie Fauzi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas acara 400 meter Sukan Sea 2023 di Kemboja, Umar Osman mengakui berdebar untuk mengambil peperiksaan bahasa bagi membolehkannya berkelana ke Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, setakat ini dia belum mendapat pengesahan bagi menyambung pengajian dan mendapat latihan olahraga yang lebih komprehensif selagi tidak lulus peperiksaan berkenaan.

"Saya perlu menjalani peperiksaan berkenaan dan dalam masa sama berdebar juga bagi mengambil peperiksaan berkenaan," katanya ketika ditemui media pada majlis menandatangani kontrak penajaan barangan sukan terkemuka Jepun, Asics.

Ujarnya, jika lulus peperiksaan berkenaan barulah dia akan mendapat surat tawaran daripada Universiti Auburn, di Alabama sama tempat dengan jaguh pecut negara Azeem Fahmi.

"Saya memang gementar (untuk mengambil peperiksaan berkenaan) kerana takut tak dapat. Sekarang status belum tahu lagi. Selepas selesai perkara berkenaan barulah untuk ke peringkat seterusnya," kata pemegang rekod kebangsaan itu.

Pelajar jurusan Diploma Reka Bentuk dan Industri di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang, Johor itu sekarang ini masih lagi dalam proses pemulihan kecederaan pangkal paha dan bakal mengharungi tiga kejohanan hingga bulan depan.

Dalam aksinya di temasya Sukan Asia, Hangzhou, Umar gagal melayakkan diri beraksi di peringkat akhir selepas menamatkan cabaran di peringkat saringan di tempat keempat saringan ketiga dengan catatan 46.58s.

Namun prestasi pelari itu tampak konsisten selepas memecahkan rekod kebangsaan sebanyak tiga kali dalam tahun ini, bermula di Sukan Sea Kemboja (46.34s) diikuti dua kali di Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China (46.33s dan 46.09s).

Selain Umar turut mendapat penajaan berkenaan ialah atlet lempar cakera wanita, Queenie Kung dan pelari maraton, Haziq Hamzah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 3:50 PM