EBIT Lew. FOTO Bernama
EBIT Lew. FOTO Bernama
BERNAMA

Tenom: Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, menghantar kira-kira 70 mesej berunsur lucah menerusi aplikasi WhatsApp kepadanya, antara 10.57 malam hingga 12 tengah malam pada 19 April 2021.

Wanita berusia 40-an itu, selaku saksi kesembilan pendakwaan yang juga pengadu kes berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria, pada perbicaraan kes gangguan seksual pendakwah tersebut.

Saksi itu berkata walaupun ketika itu bulan Ramadan, Lew tetap menghantar mesej seperti itu kepadanya dan merasakan ayat-ayat lucah dan memuji dalam mesej itu, mengaibkan kehormatannya.

Pengadu itu berkata dia melihat karektor Ebit Lew di media sosial sangat berbeza daripada mesej-mesej yang dihantar oleh pendakwah itu, yang dilihat sering menyebut isterinya sebagai seorang bidadari.

"Tapi apabila dia (Ebit Lew) mesej macam tu, seolah-olah dia anggap perempuan ni hanya tujuan seks semata-mata," katanya ketika dalam pemeriksaan utama itu.

Wanita itu berkata selain menghantar mesej di awal pagi hingga ke malam, Ebit Lew juga akan membuat panggilan telefon kepadanya dan menggunakan bahasa lucah.

Pada prosiding hari ini, Zahida juga memohon supaya pertuduhan pertama terhadap Ebit Lew dipinda secara lisan pada bahagian waktu, iaitu dari pukul 6 pagi kepada 8.07 pagi.

Mahkamah membenarkan pindaan itu dibuat selepas saksi memberi keterangan, iaitu kronologi kejadian dia menerima gambar kemaluan tertuduh pada 29 Mac 2021 pada pukul 8.07 minit pagi.

Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 4:58 PM