Norzarita Hanum (kanan) bersama kakaknya, Allahyarham Norzana Hanim (tengah) dan keluarga mereka, baru-baru ini. FOTO ihsan Norzarita Hanum Hamzah
Norzarita Hanum (kanan) bersama kakaknya, Allahyarham Norzana Hanim (tengah) dan keluarga mereka, baru-baru ini. FOTO ihsan Norzarita Hanum Hamzah
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Suami kepada pramugari Malaysia Airlines (MAS), Norzana Hanim Hamzah yang meninggal dunia di Narita, Chiba, Jepun, semalam tiba di negara itu, pagi hari ini bagi urusan membawa pulang jenazah wanita itu ke tanah air.

Adik wanita itu, Norzarita Hanum, 46, berkata, suami kakaknya, Rudy Tarmizi, 42, bersama suaminya, Khalid Abdullah Abu Bakar, 39, dan adik ipar Rudy berlepas ke negara matahari terbit itu kira-kira 11 malam dan sebelum tiba jam 7 pagi hari ini.

"Pihak berkuasa di sana mahu lakukan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian kerana tiada unsur jenayah dikaitkan dengan kematian Kak Nim (panggilan Norzana Hanim).

"Tetapi, di pihak keluarga, kami tidak mahu buat proses itu kerana ingin memenuhi permintaan Kak Nim yang pernah berpesan dia enggan dibedah siasat jika apa-apa berlaku kepadanya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Norzarita Hanum berkata, keluarganya masih berunding dengan pihak berkuasa di Narita untuk membawa pulang jenazah tanpa proses bedah siasat.

"Jika pihak berkuasa Narita membenarkan jenazah tidak dibedah siasat, insya-Allah paling awal urusan membawa pulang Kak Nim mungkin esok.

"Tetapi, jika pihak sana mahukan bedah siasat juga, mungkin urusan bawa pulang ke Malaysia dapat dilakukan Ahad ini.

"Alhamdulillah, setakat ini, pihak Kedutaan Malaysia di Jepun juga bersedia menawarkan bantuan, malah MAS juga akan menanggung semua kos urusan keluarga membawa pulang jenazah Kak Nim ke Malaysia serta pengebumiannya nanti," katanya.

Katanya, jenazah Norzana Hanim dijangka disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Melaka, Hulu Langat, Cheras.

"Kami mohon rakyat Malaysia mendoakan urusan membawa pulang jenazah Kak Nim ke Malaysia berjalan lancar supaya kami dapat dikebumikan dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 5:34 PM