Fahmi Fadzil bercakap kepada pemberita semasa sidang media Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi hari ini. FOTO BERNAMA
Fahmi Fadzil bercakap kepada pemberita semasa sidang media Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Kerajaan Perpaduan sedia berdepan tindakan Perikatan Nasional (PN) yang berhasrat memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil turut mencabar PN supaya mengumpul bukti bagi memfailkan petisyen terbabit.

"Kumpullah, kumpullah bukti itu," katanya ringkas pada sidang media pasca mesyuarat kabinet, di sini, semalam.

Pengerusi PN Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam memaklumkan parti itu kini sedang mengumpulkan fakta dan bukti salah laku dalam PRK DUN Kuala Kubu Bharu sebelum mengemukakan petisyen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau dilaporkan berkata, arahan berkenaan dikeluarkan oleh Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada semua Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi mengumpulkan fakta sebelum disemak peguam.

Azmin yang juga Pengarah PRK Kuala Kubu Bharu PN berkata, pihaknya turut meletakkan satu tempoh sebelum petisyen itu dihantar namun semuanya tertakluk kepada pengumpulan bukti berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, Fahmi berkata, Jemaah Menteri hari ini tidak membincangkan mengenai langkah kerajaan Kelantan untuk menggubal semula 16 Seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan, Februari lalu.

"Perkara ini tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini," katanya ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud bahawa kerajaan negeri komited untuk menggubal semula 16 Seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah negeri berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, Jemaah Menteri turut diberikan perkembangan mengenai beberapa insiden yang menggemparkan negara termasuk serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor, baru-baru ini.

"Kami ada diberikan sedikit perkembangan dan Perdana Menteri sudah meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tugas (siasatan)," katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, dua anggota polis terbunuh manakala seorang lagi cedera dalam serangan dilakukan seorang lelaki yang menceroboh Balai Polis Ulu Tiram.

Malah, pada hari sama, polis menahan dua lelaki yang membawa parang cuba menceroboh Istana Negara.

Keesokannya, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menerima ugutan bunuh menerusi surat yang dihantar ke rumahnya bersama dua peluru hidup.

Dalam kejadian di Pulau Pinang, Ahad lalu, seorang lelaki ditahan ketika cuba merampas submesingan jenis HK MP5 daripada anggota polis yang bertugas di pintu pagar Balai Polis Dato Keramat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 4:54 PM