JOO Ven gagal teruskan kemaraan Masters Malaysia. FOTO ASWADI ALIAS
JOO Ven gagal teruskan kemaraan Masters Malaysia. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Terdesak untuk mencari mata mudah di set penentuan menghukum perseorangan lelaki profesional, Soong Joo Ven apabila terkandas dalam aksi kelayakan kedua Masters Malaysia selepas di tangan Koo Takahashi dari Jepun 14-21, 21-13, 14-21 sebentar tadi.

Menurut Joo Ven, selain melakukan kesilapan mudah sehingga membenarkan lawan meraih mata 'percuma', lawannya yang berusia 22 tahun itu juga berjaya mempamerkan pertahanan mantap.

"Dari situ saya melihat keyakinan Takahashi mula meningkat, sedangkan saya agak terdesak untuk mendapatkan mata sehingga melakukan kesilapan," katanya selepas perlawanan di Axiata Arena.

Ujar pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, walaupun lawannya masih muda namun berdepan dengan pemain dari negara Asia Timur bukannya muah terutama membabitkan Jepun dan Korea Selatan.

"Mereka memang pejuang sejati, sentiasa memberikan terbaik dan bermati-matian. Bagus untuk kita belajar dari mereka," kata Joo Ven yang tumpas kepada Jeon Hyeok Jin pada perlawanan pertama kelayakan di kejohanan sama tahun lalu.

Dua lagi wakil negara, Ong Zhen Yi dan Cheam June Wei tumpas di perlawanan kelayakan pertama denga Zhen Yi kalah 20-22, 14-21 kepada Jason Gunawan (Hong Kong), manakala June Wei tunduk di tangan K Sathish Kumar (India) 15-21, 19-21.

Nasib sama berlaku ke atas perseorangan Wanita, Wong Ling Ching apabila tumpas di tangan Hung Yi Ting 21-14, 18-21, 13-21 dari Taiwan di peringkat kelayakan.

Bagi beregu lelaki, pasangan profesional Boon Xin Yuan-Goh V Shem Berjaya mara ke undian utama selepas mengalahkan rakan senegara, Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe 21-17, 20-22, 21-18.

Menanti mereka di pusingan pertama ialah pilihan keenam dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.

Chia Weijie-Liew Xun pula tumpas kepada gandingan Korea Selatan, Kim Young Hyuk-Wang Chan 21-17, 21-18.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 4:56 PM