UMAR menduduki tempat keempat saringan 400m.
UMAR menduduki tempat keempat saringan 400m.
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Pelari 400 meter (m) lelaki negara, Umar Osman menegaskan dia kini mahu keluar dari zon selesa.

Umar berkata, dia tidak boleh berpuas hati dengan apa yang sudah dicatatkan ketika ini dan berkata perjalanannya masih jauh dan kini menimbang berkelana di luar negara.

Ketika ini atlet berusia 20 itu sudahpun menerima tawaran dari dua universiti di Amerika Syarikat (AS) dan satu daripada adalah universiti di mana pelari pecut negara Muhammad Azeem Fahmi belajar iaitu di Universiti Auburn.

Bagaimanapun, Umar yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 46.09 saat (s) itu masih lagi belum membuat sebarang pilihan.

"Saya mesti keluar dari zon selesa untuk tingkatkan prestasi saya. Saya masih muda. Perjalanan saya masih jauh. Saya ada mendapat dua tawaran daripada AS yang bersedia menawarkan saya beraksi di divisyen satu tapi saya masih belum pasti ia adalah biasiswa penuh atau separuh.

"Saya akan berbincang dengan MSN (Majlis Sukan Negara) sebelum membuat keputusan," katanya.

Dalam aksinya di temasya Sukan Asia, Hangzhou, Umar gagal melayakkan diri beraksi di peringkat akhir selepas menamatkan cabaran di peringkat saringan di tempat keempat saringan ketiga dengan catatan 46.58s.

Namun prestasi pelari itu tampak konsisten selepas memecahkan rekod kebangsaan sebanyak tiga kali tahun ini, bermula di Sukan Sea Kemboja (46.34s) diikuti dua kali di Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China (46.33s dan 46.09s).

Ketika ini dua pelari sensasi yang berpangkalan AS, Azeem dan Shereen Samson Vallabouy, menunjukkan peningkatan

memberangsangkan selepas menjalani latihan di luar negara.

Kedua-dua pelari berkenaan berjaya menceriakan kem olahraga negara apabila menyumbangkan dua gangsa masing-masing dalam acara 100m dan 400m pada temasya Sukan Asia Hangzhou.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 4:09 PM