UMAR sambung belajar di Universiti Auburn bulan depan.
UMAR sambung belajar di Universiti Auburn bulan depan.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemegang rekod kebangsaan 400 meter (m), Umar Osman sudah bersedia menyahut cabaran berkelana di Amerika Syarikat (AS) dalam usaha untuk keluar daripada zon selesa.

Umar yang berjaya memecahkan tiga rekod kebangsaan sepanjang tahun ini berkata, dia kini dalam proses menyelesaikan urusan visa dan dijangka berlepas ke AS dan menyambung pelajaran di Universiti Auburn Januari ini.

Biarpun mengakui berdebar untuk ke AS, anak jati Johor itu berkata, dia perlu mengambil peluang terhidang untuk menjadikan dirinya lebih baik biarpun tidak mendapat tajaan penuh daripada Universiti Auburn yang mana hanya menanggung 60 peratus tajaan.

"Keputusan untuk ke AS ini juga bukan senang untuk saya buat. Tapi saya kena keluar dari zon selesa. Bekas jurulatih saya, Simon Lau sebenarnya banyak memberi galakkan kepada saya untuk ke AS biarpun pada mulanya saya berasa berbelah bagi.

"Kata coach (Simon) untuk berjaya dan lebih maju saya kena sambut cabaran ini kerana peluang tidak selalu ada. Jika saya tidak memanfaatkan peluang ini, saya akan rugi," katanya.

Umar, 20, antara atlet negara paling menyerlah tahun ini dengan namanya mula meniti di bibir peminat olahraga apabila meraih emas dan memecahkan rekod kebangsaan di Sukan Sea Kemboja Mei lalu dengan catatan 46.34s.

Dia terus cemerlang di Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China apabila memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali (46.33s dan 46.09s) untuk membuktikan dia mampu untuk terus mengharumkan nama negara dalam sukan olahraga.

Umar kini menyasarkan untuk mencatatkan masa di bawah 46s sekiranya berpeluang menjalani latihan di AS. Malah dia yakin mampu melakukannya sekiranya dapat meneruskan pelajaran dan latihan di sana.

"Saya harap segala urusan dipermudahkan dan berterima kasih atas bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) yang membantu urusan visa saya.

"Saya yakin saya mampu untuk melakukan masa bawah 46s jika saya berlatih di AS," katanya yang dijangka akan meneruskan pelajaran dalam jurusan reka bentuk industri di Auburn nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 3:56 PM