EDITOR Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown. FOTO Arkib NSTP
EDITOR Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Pegawai khas bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali iaitu Mabel Sheela Mutthiah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnahnya terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown.

Rayuan itu difailkan oleh firma guaman David Gurupatham & Koay semalam, yang mewakili hakim Mahkamah Sesyen yang telah bersara itu.

Saman terbabit berkaitan tiga artikel diterbitkan dalam Sarawak Report, termasuk artikel bertajuk How AG's Office Connived to Prevent a Second Post-mortem on Kevin Morais – Exclusive Expose.

Pada 2 Mei, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menolak saman dengan kos RM15,000, selepas mendapati plaintif (Mabel) gagal menterjemah artikel yang didakwa berunsur fitnah itu ke bahasa Melayu.

Beliau berkata syarat bagi pliding lengkap dalam bahasa Melayu secara asasnya dikaitkan dengan keluhuran bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan.

Beliau berkata peruntukan berkaitan termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Aturan 92 Kaedah 1 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Raja Ahmad Mohzanuddin berkata artikel itu secara jelas mencadangkan bahawa plaintif terlibat dalam satu konspirasi di peringkat tertinggi untuk menipu keluarga mendiang Timbalan Pendakwa Raya Datuk Kevin Morais berhubung hak mereka kepada laporan bedah siasat kedua yang bebas.

Bagaimanapun, beliau berkata plaintif tidak berhak mendapat sebarang ganti rugi susulan penerbitan artikel berunsur fitnah itu akibat kegagalan menyediakan terjemahan yang diperakui dalam bahasa Melayu.

Mabel memfailkan saman terhadap Rewcastle-Brown pada 2019 berhubung artikel yang didakwa mengaitkan beliau dengan mesej teks dihantar kepada keluarga Morais, yang dibunuh pada September 2015.

Beliau menafikan dakwaan yang disiarkan dalam artikel itu dan memulakan tindakan saman bagi menuntut ganti rugi daripada Rewcastle-Brown, serta perintah mahkamah agar artikel itu dikeluarkan daripada laman sesawang Sarawak Report.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 5:18 PM