TAKIYUDDIN, gambar fail. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TAKIYUDDIN, gambar fail. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) mendesak supaya sebarang intimidasi, kacau ganggu dan pengaruh tidak wajar termasuk notis di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah yang dikeluarkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dihentikan serta ditarik serta merta.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tidak pernah berlaku dalam sejarah demokrasi di negara ini, seorang Adun yang dipilih oleh rakyat diambil tindakan mengenai apa yang diucapkannya untuk memenuhi tanggungjawab di dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun).

"Adalah jelas bahawa tanggungjawab berat yang digalas oleh seorang ahli dewan perlu dilaksanakan tanpa sebarang kacau ganggu atau pengaruh tidak wajar.

"Difahamkan Azmin, selaku Adun dan juga Ketua Pembangkang di Dun Selangor membangkitkan beberapa isu berkenaan dengan pentadbiran kerajaan negeri Selangor termasuk berkenaan pengurusan PKNS yang mana Pengerusinya adalah Menteri Besar Selangor.

"Lantaran daripada itu, beliau dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis atas isu yang beliau timbulkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azmin sebelum ini dilapor dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah pada 7 Mei lalu susulan kenyataannya dalam Dun pada Mac lalu mengenai pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pihaknya turut berasa dukacita dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang dilakukan terhadap Azmin berkaitan dengan perbahasannya dalam Dun Selangor itu.

Katanya, ini disebabkan adalah menjadi amalan demokrasi yang matang di mana-mana negara di dunia bahawa setiap Ahli Parlimen atau Adun mempunyai kekebalan dan perlindungan daripada sebarang pendakwaan jenayah atau tindakan sivil apa-apa perkara yang diucapkan serta dibahaskan dalam dewan.

"Ia selagi tidak melanggari apa yang ditetapkan dalam undang-undang termasuk peraturan mesyuarat.

"Prinsip kekebalan ini telah digariskan dengan jelas di bawah Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan dan juga Undang-Undang Tubuh Negeri, khususnya Seksyen 2 dan 3 Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 4:44 PM