FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Jemaah Menteri memutuskan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan berlangsung di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, bagi sambutan Hari Malaysia pula, ia akan disambut di Sabah dengan lokasi khusus akan ditentukan kemudian.

"Jemaah Menteri hari ini memutuskan mengenai sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan di Putrajaya.

"Manakala sambutan Hari Malaysia akan diadakan di Sabah dan lokasi khusus akan diumumkan selepas mesyuarat pertama dipengerusikan bersama antara saya dan Datuk Christina Liew (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah)," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.

Ini adalah kali keenam sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya dengan kali pertama pada 2003.

Sambutan tahun ini juga menjadi penganjuran kali kedua di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas ia diadakan tahun lalu.

Manakala sambutan Hari Malaysia pada 16 September tahun lalu diadakan di Stadium Perpaduan di Kuching, Sarawak dengan menggunakan tema sama dengan Hari Kebangsaan 2023 iaitu "Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 5:03 PM