LAPORAN Harian Metro, semalam.
LAPORAN Harian Metro, semalam.
Redzuan Muharam

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunaikan hajat Mikail Damien Qaizer Nasarudin yang tular sebelum ini kerana menginginkan kek sempena hari kelahirannya, Ahad lalu.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong meminta Skuad Perkeso Prihatin Negeri Sembilan menyantuni kanak-kanak terbabit dengan menghadiahkan kek kepada Mikael Damien Qaizer, 9, dan adiknya, Mikail Danish Qaizer Nasarudin, 7, di sebuah sekolah, di sini.

Steven Sim berkata, hasil semakan Perkeso mendapati bapa dua kanak-kanak berkenaan, Nasarudin Md Nasir, 52 adalah pencarum bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan layak memohon Pencen Ilat bawah Skim Keilatan.

"Justeru itu, pihak Perkeso kini berusaha membantu dengan memohon beliau memberi laporan perubatan untuk proses permohonan faedah bagi mendapatkan rawatan perubatan sewajarnya.

"Pihak Perkeso turut melakukan Ziarah Prihatin ke kediaman beliau bagi menyampaikan sumbangan kotak prihatin berisi barangan keperluan dapur serta sumbangan wakalah RM500 yang diharap berupaya meringan sedikit beban ditanggungnya," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Image

Kelmarin, Harian Metro melaporkan kisah Nasarudin yang menghidap penyakit buah pinggang kiri mengecil merayu kepada mereka yang sudi untuk menghadiahkan sepotong kek sempena ulang tahun kelahiran anak sulungnya.

Nasarudin meluahkan hasrat itu kerana mahu menceriakan anaknya, tetapi tidak mampu membelikan kek kerana kesempitan hidup.

Selain Mikael Damien Qaizer, Nasarudin juga perlu menyara anak bongsunya, Mikael Danish Qaizer dengan ada ketikanya terpaksa mengikat perut kerana ketiadaan wang.

Nasarudin menjadi bapa tunggal selepas isterinya Zudairulwati Jaafar meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap empat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini pada 2 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 5:29 PM