UMAR memegang sijil penghargaan daripada Polikteknik Sultan Ibrahim, Pasir Gudang di atas pencapaian dalam sukan yang mengharumkan nama politekinik berkenaan di peringkat antarabangsa. FOTO Rizar Mohd Noor
UMAR memegang sijil penghargaan daripada Polikteknik Sultan Ibrahim, Pasir Gudang di atas pencapaian dalam sukan yang mengharumkan nama politekinik berkenaan di peringkat antarabangsa. FOTO Rizar Mohd Noor
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pemenang pingat emas acara 400 meter Sukan Sea 2023 di Kemboja, Umar Osman bakal mengikut jejak pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi berkelana ke Amerika Syarikat (AS) bagi menyambung pengajian dan mendapat latihan olahraga yang lebih komprehensif.

Pelajar jurusan Diploma Reka Bentuk dan Industri di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang, Johor, itu berkata segala urusan untuk ke AS sedang dipersiapkan dan dia sudah memohon untuk masuk ke Universiti Auburn, di Alabama, AS, tempat Azeem belajar sekarang.

"Memang ada perancangan ke AS dan sekarang dalam proses menghantar dokumen berhubung pencapaian akademik terutama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan laporan pencapaian di Politeknik Ibrahim Sultan.

"Jadi saya perlu sediakan segala dokumentasi untuk dihantar ke pihak universiti di AS dan jika segala urusan berjalan lancar, saya dijangka ke sana pada awal Januari tahun depan malah sudah memilih Universiti Auburn.

"Saya perlu mencabar diri sendiri untuk lebih maju dan mempertingkatkan lagi kualiti larian kerana saingan utama adalah saya sendiri dan dari situ baru saya akan lebih mantap," katanya ketika ditemui Sukan NSTP pada majlis ramah mesra Politeknik Ibrahim Sultan bersama media Johor di sini, semalam.

Pelari berusia 20 tahun kelahiran Johor Bahru itu melakar sensasi di Sukan Sea selepas berjaya mencipta rekod baharu kebangsaan 46.34 saat (s) sekali gus memadam rekod lama dicipta Mohd Zaiful Zainal Abidin yang mencatat 46.41s pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia edisi 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 12:24 PM